PORT DICKSON – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Port Dickson menerima lebih 15 kes membabitkan kejadian susulan Ribut Tropika Senyar sejak pukul 11 malam semalam.
Pegawainya, Kapten Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata, hujan lebat berserta angin kencang dialami di kawasan pantai peranginan berkenaan sejak malam tadi.
“Kami terima banyak kes pokok tumbang dan sehingga kini masih ada beberapa kes masih belum selesai,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai pokok tumbang di sebuah hotel di daerah Port Dickson kira-kira pukul 3.14 pagi.
Menurutnya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson dikejarkan ke lokasi dan mendapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan jenis Proton Saga, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat di dalam kenderaan berkenaan.
Ribut Tropika Senyar yang dikesan di perairan Selat Melaka telah memasuki perairan Malaysia sejak 3.30 petang semalam dijangka akan berterusan sehingga pagi Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip sebelum ini dilaporkan berkata, orang ramai dinasihatkan agar bersiap siaga dengan faktor hujan lebat luar biasa berterusan susulan kesan ribut tropika Senyar yang dijangka melanda tengah malam ini.- KOSMO! ONLINE














