PIRAEUS, Greece – Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe mencipta kegemilangan tersendiri apabila bukan sahaja meledak empat gol tetapi turut merakam hatrik kedua terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Mbappe, 26, mengambil masa enam minit 42 saat untuk menjaringkan tiga gol ke atas Olympiakos pada minit ke-22, 24 dan 29 di Stadium Georgios Karaiskakis awal pagi semalam.
Menariknya, ini adalah hatrik kedua Mbappe di UCL musim ini selepas kali pertama melakukannya ke atas Kairat Almaty pada September lalu dan juga yang kelima keseluruhan dalam kariernya.
Rekod hatrik terpantas UCL ketika ini masih lagi dipegang oleh penyerang Liverpool, Mohamed Salah dengan masa 30 saat lebih pantas ketika melakukannya ke atas Rangers pada Oktober 2022.
Kecemerlangan penggempur Perancis itu tidak terhenti di situ apabila menyumbat gol keempatnya pada minit ke-60, sekali gus melebarkan kedudukannya sebagai pendahulu penjaring terbanyak UCL musim ini dengan sembilan gol.
“Ini adalah aksi yang sangat penting buat kami untuk kembali menang. Tiga perlawanan tanpa kemenangan sebelum ini sangat menyakitkan, walaupun hari ini sukar tetapi kami berjaya capai objektif.
“Kami bermula agak teruk, kerap hilang bola, bolos terlebih dahulu tetapi kemudian kami mula menguasai permainan. Gol demi gol terhasil dalam perlawanan yang sengit ini,” kata Mbappe.
Tiga gol Olympiakos dalam aksi itu dihasilkan oleh Chiquinho seawal minit kelapan, Mehdi Taremi (m-52) dan Ayoub El Kaabi (m-81). – AGENSI















