GEORGE TOWN – Siapa sangka, pengalaman hitam berada di sebalik tirai besi mengubah nasib seorang bekas banduan Penjara Seberang Perai di Jawi untuk membuktikan yang dia benar-benar berubah sehingga mampu menggenggam segulung ijazah.
Mohd. Khairul Ab. Aziz, 43, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, dia sedaya upaya mahu memulihkan semula maruahnya yang tercalar selepas terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, pengalaman berada di penjara sejak 2016 sehingga 2021 mengajarnya erti penyesalan sekali gus nekad mengubah nasib diri demi menggapai sebuah kejayaan di celah kehidupan yang serba mencabar.
“Semuanya bermula pada 2020, semasa saya berada di Penjara Seberang Perai. Keinginan untuk sambung belajar hadir selepas saya mendengar kisah Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun ketika beliau dijemput memberi ceramah.
“Melalui perkongsiannya, saya tanam niat untuk mengubah nasib diri dan cuba mengikut jejak langkah beliau untuk bangkit semula. Saya mula mendaftar pengajian di USM pada tahun sama.
“Memang payah hendak hentikan herdikan dan stigma masyarakat terhadap bekas banduan tapi niat hanya satu mahu memulihkan semula maruah diri demi keluarga dan dua anak yang sudah terpisah kasih sejak setahun lalu.
“Papa (panggilan anaknya) juga nak anak-anak tahu yang bekas banduan pun boleh berjaya dan berubah,” katanya ketika ditemui selepas Upacara Konvokesyen Ke-63 USM yang turut dihadiri oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed dan Timbalan Pengarah Penjara Seberang Perai, Rozita Muhamad Sharif semalam.
Dua penyelia pengajiannya, Prof. Dr. B. Vicknasingam dan Prof. Madya Dr. Darshan Singh turut hadir bagi menyaksikan momen bersejarah itu memandangkan Mohd. Khairul merupakan graduan pertama USM sedang menjalani hukuman.
Berkongsi pengalaman di penjara, anak jati Pulau Pinang itu berkata, dia hanya dibenarkan menggunakan internet selama sejam setengah untuk mencari bahan yang akan dicetak dan dibawa pulang ke sel setiap hari.
“Bayangkan, walaupun hanya lima bulan sempat merasai pengalaman mengulangkaji di sel sebelum dibebaskan pada Disember 2021, tapi ia cukup berharga.
“Setiap malam, cahaya lampu koridor sel jadi ‘peneman’ untuk ulangkaji pelajaran. Saya akan duduk di tepi pagar sel dan baca buku kadang-kala sampai pukul 12 tengah malam. Tiada apa yang sukar jika kita tanam niat untuk berjaya.
“Tapi perkara itu saya rasa boleh diceritakan semula kepada komuniti luar tentang perjuangan dan kejayaan bekas banduan yang nekad mahu berubah,” katanya yang mengusahakan perniagaan snek makanan ringan.
Mohd. Khairul yang merupakan pemegang ijazah dalam bidang Kimia Industri di sebuah universiti swasta pada 2006 turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama di negara ini yang menjalankan kajian mengenai penggunaan dadah jenis kokain.
Hasil kajiannya itu turut dimuatkan dalam Laporan Global Kokain oleh United Nations Office Drugs and Crime (UNODC) Vienna pada 2023. -KOSMO! ONLINE














