fbpx
Keadaan kereta Perodua Myvi terbabas dan terjatuh dari ketinggian 10 meter ke kawasan rumah penduduk mengakibatkan tembok pagar runtuh. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP / KOSMO!

Myvi terjunam masuk rumah penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Kebimbangan seorang penduduk Taman Nusari Bayu 1, Sendayan di sini mengenai kejadian kemalangan berikutan lokasi rumahnya yang terletak berdekatan selekoh tajam menjadi kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pukul 8.40 pagi tadi, sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbabas dan terjunam pada ketinggian 10 meter ke kawasan rumah Amirul Zaki Abd. Rahim, 35, menyebabkan tembok pagar runtuh. Pemandu wanita berusia 33 tahun bagaimanapun selamat.

Amirul Zaki berkata, dia menerima maklumat tentang kejadian itu daripada jirannya dan sebaik tiba dia mendapati pemandu Myvi tiada dalam kenderaan kerana sudah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Lelaki itu bersyukur kerana ketika kejadian dia bersama isteri keluar bekerja, manakala empat anak mereka berusia tiga bulan hingga enam tahun tiada di rumah. Kejadian tersebut adalah yang ketiga berlaku berhampiran kawasan rumahnya.

“Sebelum ini, ada kereta terbabas dan tersangkut pada pokok selain kemalangan maut van terbabas dan terjunam depan rumah. Penghadang konkrit dipasang di selekoh tajam tersebut namun masih ada kereta yang terbabas,” katanya.

Sementara itu, bapa pemandu kereta Myvi, Abu Hanifah Lim Abdullah, 57, berkata, ketika kejadian, anaknya dalam perjalanan ke tempat kerja di Port Dickson dan mengalami kecederaan terseliuh.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim memaklumkan, siasatan mendapati kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh dari ketinggian 10 meter dari jalan utama. Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI