MAJLIS Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia mengaktifkan pelan kecemasan terutama melibatkan perjalanan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Thailand susulan bencana banjir besar melanda negara tersebut.
Langkah berjaga-jaga diambil selepas situasi 10 wilayah selatan Thailand itu dilaporkan bertambah buruk membabitkan kawasan Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat sehingga memaksa ribuan penduduk dipindahkan.
Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA Thailand, Datuk Kenny Goh berkata, pihak urus setia sentiasa berhubung dengan pihak penganjur untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi banjir dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
“Masih terlalu awal dan jika memerlukan pelan kontigensi kami akan mengadakannya. Paling penting keselamatan kontinjen.
“Pihak urus setia sentiasa berhubung dengan jawatankuasa penganjur Sukan SEA 2025 di Thailand,” katanya selepas mengadakan sesi lawatan latihan skuad skuasy kebangsaan di ibu negara semalam.
Ditanya mengenai perubahan logistik terutama pergerakan atlet ke Songkhla menggunakan jalan darat atau kemungkinan ditukar kepada penerbangan, Kenny menegaskan perkara itu akan dibincangkan selepas ini.
“Kalau keadaan memaksa, saya pun fikir begitu tapi saya tidak mahu buat sebarang andaian. Keutamaan adalah keselamatan, kalau kena tukar perancangan, kami akan melakukannya.
“Buat masa ini, kita masih memantau dan menunggu maklum balas. Kita masih ada masa memandangkan ini baru penghujung November, temasya bermula minggu kedua Disember.
“Kita harap banjir akan reda dan keadaan kembali seperti biasa. Pihak kita sentiasa melakukan pemantuan situasi di sana. Sudah pasti sekiranya keadaan tidak mengizinkan, kita mungkin perlu mengaktifkan pelan kecemasan,” tambahnya.
MSN sebelum ini mengesahkan sebahagian kontinjen Malaysia akan bergerak menggunakan jalan darat dengan menaiki bas secara berperingkat berdasarkan tarikh acara masing-masing dan bermalam di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah sebelum ke Songkhla. – KOSMO! ONLINE














