BARCELONA – Barcelona mengharapkan gandingan dua penyerang berbisa, Fermin Lopez dan Robert Lewandowski (Lewy) untuk merobek kubu Chelsea menjelang aksi Liga Juara-Juara (UCL) di Stamford Bridge awal pagi esok.
Lebih menarik, perlawanan itu bakal menjadi ironi buat Lopez yang sepatutnya menyertai The Blues pada jendela perpindahan lepas, tetapi tidak berjaya selepas pengurusan Chelsea hanya menawarkan nilai di bawah pasaran sebanyak €40 juta (RM190 juta).
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick mengakui teruja apabila keputusan untuk tidak menjual Lopez membuahkan hasil selepas pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan tujuh gol dalam 12 aksi buat pasukan musim ini.
“Saya gembira dia (Lopez) kekal dengan kami pada jendela perpindahan lepas. Buat masa sekarang, kita yakin dia akan berikan yang terbaik, tetapi pada masa depan kita tidak tahu apa yang akan berlaku bila jendela perpindahan kembali dibuka.
“Lopez ada pakej yang lengkap untuk menjadi salah seorang penyerang yang digeruni kerana dia cukup pantas dna memiliki penyudah yang baik,” katanya.
Sementara itu, Flick turut memuji impak Lewandowski yang kembali berada pada prestasi terbaik selepas meledak satu gol ketika menewaskan Athletic Bilbao dalam kancah La Liga minggu lalu.
“Sejak 10 tahun lalu, Lewandowski kekal menjadi salah seorang penyerang terbaik di dunia. Walaupun kini sudah berusia, dia masih lagi cergas untuk beraksi secara kompetitif dan itu yang paling penting,” katanya. – AGENSI















