BALIK PULAU – Cubaan empat lelaki mencuri kabel di kawasan Botanica City, Jalan Sungai Air Puteh di sini tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka diberkas polis, hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima panggilan mengenai sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kedai tayar.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, sebaik anggota polis peronda (MPV) tiba di lokasi, suspek melarikan diri sebelum dikejar sehingga ke Jambatan Kedua.
”Beberapa pasukan bantuan turut digerakkan untuk memintas suspek. Kereta suspek terbabas di susur keluar Jambatan Kedua arah Seberang Perai Selatan dan tiga lelaki tempatan ditahan. Seorang lagi yang sempat melarikan diri sedang dikesan,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek yang ditahan bersama kenderaan digunakan dalam kes cubaan mencuri kabel itu dibawa ke IPD Barat Daya untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 186 kanun sama. -KOSMO! ONLINE















