KOTA TINGGI – Masyarakat diminta tidak membuat spekulasi dan memberikan peluang kepada pihak berkuasa agama menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan seorang lelaki melakukan pergerakan seakan-akan bersilat di tanah perkuburan Islam di Kluang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid telah pun mengambil tindakan pantas mengarahkan Pejabat Agama Daerah Kluang untuk menjalankan siasatan susulan video tular itu.
“Jadi saya rasa siasatan ini perlu dijalankan untuk memastikan daripada semua sudut. Satu, daripada sudut akidah, sejauh mana perbuatan yang dilakukan hamba Allah tersebut melanggar ataupun ada kesalahan di bawah jenayah syariah juga yang melibatkan tentang penghinaan kepada agama ataupun kesalahan kepada akidah itu sendiri.
“Jadi saya percaya pegawai penguatkuasa agama akan jalankan siasatan untuk melihat daripada pelbagai sudut. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak masyarakat secara keseluruhannya di luar (offline) dan juga yang online untuk mengamalkan adab dan juga tatasusila.
“Arahan siasatan itu telah dibuat jadi harapan saya agar masyarakat tidak buat spekulasi,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Hijrah 2025 di Dewan Orang Ramai Kampung Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.
Terdahulu, video tular memaparkan seorang lelaki melakukan pergerakan silat berdurasi 28 saat dirakam pengguna jalan raya dan dimuat naik ke media sosial sehingga tular sejak Jumaat.
Lelaki di dalam video itu dilihat memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki.
Mohd Na’im berkata orang ramai perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa di negeri Johor untuk jalankan siasatan. – KSOMO! ONLINE















