KUALA LUMPUR – Polis tidak akan menghalang penyokong M. Indira Gandhi daripada berkumpul dan mengadakan bantahan di hadapan pintu masuk Bukit Aman, selagi perhimpunan itu berlangsung secara aman dan tidak menjejaskan kelancaran lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, seramai 60 anggota telah dikerahkan untuk memantau dan mengawal keadaan sepanjang tempoh perhimpunan ini.
“Kita tidak menghalang kehadiran mereka, namun mereka perlu memastikan tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menghalang lalu lintas dan tidak menjejaskan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi di sini hari ini.
Menurut Sazalee, kelonggaran turut diberikan kepada peserta yang bergerak ke tengah jalan, memandangkan tiada tindakan yang mengancam keselamatan awam.
Terdahulu, satu perhimpunan secara aman berlangsung di ibu kota hari ini bagi mendesak polis mempercepatkan usaha mengesan Prasana Diksa, yang dilarikan bekas suaminya hampir 17 tahun lalu.
Pada tahun 2009, Muhammad Riduan atau K. Pathmanathan membawa Prasana yang berusia 11 bulan dan menukarkan agama dua lagi anaknya, Tevin Darsiny, 12, dan Karan Dinish, 11, kepada Islam tanpa pengetahuan Indira Gandhi.
Bagaimanapun pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi itu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Perarakan hari ini bermula di hadapan Sogo KL, Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum bergerak ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ia dipimpin Indira yang terus menuntut keadilan selepas penantian lebih 16 tahun itu masih tidak berpenghujung.
Sementara itu, Indira Gandhi meluahkan rasa kecewa apabila melihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan.
Katanya, perhimpunan hari ini bukan untuk membantah atau menentang PDRM sebaliknya mahukan kerjasama.
“Kami hanya mahu tahu di mana anak saya berada. Kami tidak kisah bagaimana kerjasama bersama mereka, kami sentiasa terbuka.
“Namun apa yang berlaku hari ini amat mengecewakan. PDRM seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan, dan ini benar-benar menghampakan,” katanya.
Tambahnya, sebagai seorang ibu yang telah menunggu selama 16 tahun, dia tidak dapat menerima alasan Ketua Polis Negara (KPN) untuk bertemu dengannya.
“Mustahil untuk saya terima alasan bahawa KPN tidak boleh meluangkan lima minit untuk berjumpa saya, walau sesibuk mana pun beliau.
“Saya sudah nyatakan bahawa saya fleksibel dan berikan sahaja satu tarikh. Disember tidak boleh, Januari tidak boleh… jadi bila? Sekurang-kurangnya berilah satu tarikh. Mengapa begitu sukar?,” katanya.- KOSMO! ONLINE















