Kuala Lumpur – Richiamo Coffee Sdn. Bhd. telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tiga cawangannya.
Tiga cawangan tersebut adalah Richiamo Coffee Taman Velox Rawang, Richiamo Coffee Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak dan Richiamo Coffee UTMKL Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah berkata, pensijilan halal untuk tiga cawangan utama ini adalah penting bagi perjalanan syarikat selama 10 tahun ini.
“Pensijilan halal Jakim begitu penting kerana selain daripada pengembangan jenama di pasaran tempatan, ia juga akan amat penting untuk membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan pensijilan halal daripada Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim Muhyidin Aziz @ Saari di baru-baru ini.
Muhamad Zamry menjelaskan, Richiamo Coffee memberi fokus kepada pensijilan halal ini kerana syarikat merancang untuk membawa beberapa produk keluarannya ke luar negara.
“Sebagaimana diketahui umum, pensijilan halal Jakim adalah yang terbaik, diperakui dan diterima di seluruh dunia kerana ia bukan mudah untuk diperolehi.
“Ada beberapa produk pra campuran (premix) kami telah pun mendapat pensijilan halal dan mula dieksport ke luar negara seperti di Timur Tengah, namun begitu ada beberapa produk baru masih lagi di dalam ujian dan pemeriksaan Jakim bagi tujuan kelulusan,” tambahnya.
Bagi memberi fokus kepada pensijilan halal ini, Richiamo Coffee sudah memiliki eksekutif halal sendiri bagi memantau serta memeriksa setiap rantaian bekalan daripada vendor.
“Kita baharu sahaja membuka cawangan di Pnomh Penh minggu lepas dan pensijilan halal ini amat berguna untuk membawa jenama ke luar negara,” katanya.
Pembukaan cawangan baharu di Pnomh Penh adalah adalah lanjutan daripada pembukaan beberapa cawangan baharu termasuk di Aswara dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor di Shah Alam. -KOSMO! ONLINE















