fbpx
ADVOCAAT

Bakal cipta sejarah jurulatih tertua Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KINGSTON – Dick Advocaat mencipta sejarah tersendiri apabila bakal muncul jurulatih tertua beraksi di pentas Piala Dunia pada usia 78 tahun selepas Curacao mengesahkan kemaraan sensasi ke pusingan akhir buat kali pertama.

Curacao iaitu pulau kecil dengan populasi sekitar 150,000 orang, kini menjadi negara terkecil layak ke Piala Dunia sekali gus mewarnai karier panjang Advocaat yang sebelum ini pernah membimbing tujuh pasukan kebangsaan termasuk tiga kali bersama Belanda.

Pengendali berpengalaman itu dilantik pada Januari tahun lalu, namun terpaksa meninggalkan skuad sebelum perlawanan penentu di Jamaica atas alasan keluarga.

“Ia keputusan yang sangat sukar. Saya tinggalkan mereka dengan hati berat, tetapi keluarga lebih penting daripada bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun berada jauh di The Hague, Advocaat tetap memantau pasukannya pada pukul 2 pagi waktu Belanda, berhubung secara atas talian dengan pengurus pasukan, Wouter Jansen yang kemudian menyalurkan arahannya kepada penolong jurulatih, Dean Gorre dan Cor Pot.

Aksi dramatik di Independence Park kelmarin menyaksikan Curacao nyaris kecundang apabila Jamaica ‘mengetuk’ palang tiga kali pada separuh masa kedua, manakala penjaga gol veteran, Andre Blake turut cemas menepis beberapa percubaan lawan.

Detik paling mencemaskan hadir pada minit ke-94 apabila pengadil menghadiahkan penalti kepada Jamaica selepas Jeremy Antonisse kelihatan menjatuhkan Isaac Hayden, namun Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkan keputusan itu.

Sebaik wisel penamat ditiupkan, pemain Curacao meraikan detik bersejarah mereka, manakala dunia menunggu reaksi rasmi Advocaat yang kini mengatasi rekod Otto Rehhagel yang berusia 71 tahun ketika mengendalikan Greece pada Piala Dunia 2010. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN