PETALING JAYA – Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. melakar sejarah baharu apabila berjaya mencapai 1,000 laluan pengedaran di seluruh Semenanjung Malaysia sejak mula beroperasi pada tahun 1986.
Sebagai jenama roti pilihan rakyat hampir empat dekad, Gardenia kekal komited menghantar roti segar, lazat serta berkhasiat setiap hari menerusi rangkaian penghantaran yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Koh Chin Huat berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap produk keluaran syarikat itu.
“Kita tidak akan berada di tahap ini tanpa sokongan pengguna. Ia menjadi inspirasi untuk kami terus menghasilkan inovasi baharu, memberi kembali kepada komuniti serta mengekalkan hubungan dengan akar umbi. Kami bangga dengan perjalanan ini namun tidak akan berhenti di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kejayaan itu membuktikan usaha berterusan syarikat dalam memastikan produk berkualiti dapat dinikmati tanpa mengira lokasi dan keadaan.
Menerusi pengembangan laluan tersebut, lebih 1,000 lori pengedaran kini digunakan bagi menghantar produk ke lebih 35,000 premis perniagaan di seluruh Semenanjung, sekali gus menjadikan Gardenia antara syarikat makanan dan minuman paling berhubung di negara ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Derrick Khoo Chom Seng bersama wakil media serta rakan industri.
Sementara itu, Derrick menyifatkan kejayaan Gardenia bukan hanya bergantung kepada inovasi, tetapi turut didokong kekuatan logistik serta tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
“Setiap laluan ini disokong sistem logistik kukuh, kawalan kualiti ketat dan pelaburan dalam teknologi pembakaran moden serta latihan berterusan kakitangan. Kami tidak pernah berkompromi terhadap rasa dan kesegaran produk,” jelasnya.
Pada majlis berkenaan, Chin Huat turut menerima model lori Gardenia edisi khas sebagai penghargaan atas kepimpinannya sepanjang tempoh beliau menerajui syarikat. – KOSMO! ONLINE















