KLANG – Desakan hidup tanpa gaji selama dua bulan memaksa seorang pembantu rumah warga Indonesia nekad melarikan diri dari rumah majikannya di Semenyih sebelum cuba mendapatkan perlindungan di rumah rakan di sini, semalam.
Menurut warga Indonesia dikenali Mariah, 30-an, majikannya didakwa tidak membayar gajinya sejak September lalu walaupun dia sudah beberapa kali menuntut haknya.
“Saya tanya dia (majikan) beberapa kali mengenai gaji. Dia cakap, dia akan bayar. Tetapi sampai bulan ini (November), belum dibayar.
“Ia buatkan saya kesulitan. Jadi, saya ambil keputusan lari dari rumah majikan dengan naik teksi ke Klang menggunakan wang simpanan saya,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Dia merupakan antara 95 warga asing yang ditahan dalam ‘Ops Sapu’ dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor bermula pukul 8.30 hingga 11.30 malam tadi di pangsapuri sekitar Taman Selat Damai di sini.
Mariah yang berasal dari Sumatera ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan semasa pemeriksaan memaklumkan tiba di negara ini pada Jun lalu.
Sementara itu, seorang lagi warga Indonesia dikenali Alice, 30-an ditahan kerana pas pekerjaannya tamat tempoh kira-kira sebulan lalu.
Alice yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Klang, mengakui kecuaiannya sendiri kerana lupa memaklumkan kepada majikannya.
“Pasport saya masih hidup. Saya merayu kepada imigresen, tapi mereka kata majikan perlu datang pejabat untuk selesaikan masalah. Harap majikan segera bantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














