TANJUNG MALIM – Seorang pengurus ladang durian yang menguruskan Dusun Mek Yan mengambil inisiatif berkongsi rezeki itu dengan golongan B40 atau berpendapatan sederhana apabila menawarkan set talam durian musang king Sungkai pada berharga RM99 sahaja.
Setiap set talam marhaen membolehkan pelanggan menikmati tiga biji durian musang king dengan berat 1.5 hingga 2 kilogram (kg) sebiji, tiga mangkuk bubur durian, tiga botol air mineral, lima keping roti dan air minuman seperti teh o ais percuma.
Muhammad Izmer Radzali, 37, yang membantu menguruskan ladang seluas 16.18 hektar di sekitar Batang Padang di sini berkata, pemilik ladang tersebut yang tidak mahu dikenali telah mengeksport durian musang king gred A untuk pasaran China, Taiwan dan Singapura sejak lebih 16 tahun lalu.
“Menjadi hasrat pemilik ladang yang merupakan anak jati Sungkai agar penduduk yang laib dapat merasai durian bertaraf premium, tetapi harga mampu beli, bukan mampu tengok sahaja,” katanya kepada Kosmo! di Dusun Mek Yan, Kampung Bikam, Sungkai di sini semalam.
Menurutnya, durian musang king mempunyai rasa yang cukup lemak, manis, berisi tebal dan saiz biji kecil, kurang bergas dan warnanya kuning pekat yang mampu membuatkan sesiapa sahaja kecur liur.
Katanya, durian musang king Sungkai dijual di Dusun Mek Yan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang memerlukan pelanggan membuat tempahan terlebih dahulu.
“Ini bagi memastikan kami dapat mengatur tempahan dengan baik supaya tidak berlaku kesesakan supaya dapat menjaga kualiti perkhidmatan.
“Selain itu, bekalan stok durian sentiasa mencukupi selain tidak berlaku kesesakan kenderaan kenderaan pelanggan kerana saiz premis yang agak terhad,” katanya.
Ujarnya, setakat ini ramai pelanggan berpuas hati dapat menikmati durian bermutu tinggi untuk eksport dalam pasaran tempatan dengan harga yang berpatutan.
“Bekalan durian mencukupi hingga Februari tahun depan dan ada pokok-pokok yang ditanam akan mengeluarkan buah yang mampu menampung permintaan selepas itu.
“Asasnya, lebih menguntungkan jika durian ini dieksport sahaja, tetapi saya anak jati Sungkai berfikir biarlah ‘orang kita’ dapat merasa selain membuka peluang pekerjaan kepada orang kampung. Saya juga mengajar mereka cara berniaga dan menanam durian bagi menjana pendapatan,” katanya.















