fbpx
Beberapa kenderaan elektrik dilihat melalui laluan di Lebuh Raya A10 di Perancis yang dilengkapi pengecas ‘tertanam’ di bawah permukaan jalan.

Lebuh raya pertama dunia cas kenderaan elektrik ketika memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGMEN inovasi hijau sekali lagi mencipta sejarah dunia dengan kejayaan Perancis memperkenalkan lebuh raya pertama di dunia yang mampu mengecas kenderaan elektrik (EV) secara automatik ketika bergerak.

Projek yang dilaksanakan di Lebuh Raya A10 berhampiran Paris itu menjadi simbol revolusi dalam dunia pengangkutan moden, apabila kebergantungan terhadap stesen pengecasan statik mula beralih kepada sistem dinamik yang menjanjikan masa depan lebih lestari dan efisien.

Inisiatif ini dinamakan ‘Charge as you Drive’ dan menjadi langkah penting ke arah mencapai sasaran sifar pelepasan karbon menjelang tahun 2050 di bawah agenda tenaga bersih Eropah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat konsesi, pembinaan dan tempat letak kereta Perancis, VINCI Autoroutes, Nicolas Notebaert, konsep jalan atau lebuh raya yang boleh mengecas kenderaan ketika bergerak ini dibangunkan melalui teknologi pengecasan induksi dinamik.

“Sistem ini berfungsi dengan gegelung tembaga yang ditanam kira-kira sepuluh sentimeter di bawah permukaan asfalt.

“Gegelung ini menghasilkan medan magnet yang memindahkan tenaga kepada penerima khas yang dipasang di bahagian bawah kenderaan elektrik,” katanya kepada media Perancis.

Tambahnya, dengan cara ini, kenderaan tidak perlu berhenti untuk mengecas, sebaliknya dapat menambah tenaga bateri secara berterusan semasa memandu.

Katanya lagi, teknologi ini dibangunkan hasil kerjasama antara VINCI Autoroutes, bersama Electreon, Hutchinson dan Universiti Gustave Eiffel.

Projek ini turut disokong oleh agensi pembangunan ekonomi Bpifrance sebagai sebahagian daripada pelan nasional ‘Electric Road System (ERS)’ Perancis.

Kongsi Notebaert lagi, ujian awal yang dijalankan di laluan sejauh 1.5 kilometer di A10 menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan.

“Sistem ini dilaporkan mampu menghasilkan tenaga melebihi 200 kilowatt dan mencapai puncak sekitar 300 kilowatt ketika kenderaan sedang bergerak pada kelajuan biasa.

“Ini bermakna, sebuah EV boleh menambah jarak perjalanan sebanyak dua hingga tiga kilometer untuk setiap satu kilometer laluan pengecasan, manakala bagi trak berat, jarak tambahan sekitar satu kilometer bagi setiap kilometer jalan tersebut,” ujarnya.

Notebaert menambah, sistem ini direka bentuk agar dapat berfungsi dengan stabil dalam pelbagai keadaan cuaca termasuk hujan, salji dan ais, menjadikannya sesuai untuk kegunaan jangka panjang di kawasan beriklim sederhana seperti Eropah.

Manfaat daripada teknologi ini amat luas, bukan sahaja kepada pengguna kenderaan elektrik, malah kepada keseluruhan ekosistem pengangkutan.

Sistem pengecasan dinamik ini juga berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada bateri berkapasiti besar.

Bateri yang kecil bukan sahaja lebih ringan tetapi juga mengurangkan kos pengeluaran kenderaan, sekali gus menjadikan harga EV lebih mampu milik kepada pengguna.

Bagi sektor logistik dan pengangkutan berat pula, teknologi ini menjimatkan masa operasi kerana kenderaan tidak perlu berhenti lama di stesen pengecasan.

Pengurangan waktu henti ini mampu meningkatkan produktiviti serta menjimatkan kos syarikat pengangkutan.

Selain itu, penggunaan tenaga yang dijana secara berterusan di atas jalan ini membantu mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan media oleh kerajaan Perancis, sektor pengangkutan menyumbang sekitar 16 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah kaca di Perancis.

Dengan pengenalan jalan atau lebuh raya elektrik ini, kerajaan Perancis menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan tersebut secara mendadak menjelang tahun 2035.

“Pihak kerajaan turut merancang untuk meluaskan sistem ERS ini sehingga 9,000 kilometer di seluruh negara dalam tempoh sedekad akan datang.

“Jika berjaya, ia akan menjadi rangkaian jalan raya elektrik paling maju di dunia dan boleh menjadi model kepada negara lain,” katanya.

Namun begitu, setiap inovasi besar pasti berdepan cabaran tersendiri. Kos pelaksanaan menjadi isu utama kerana pemasangan gegelung induksi di bawah jalan raya memerlukan pembinaan semula permukaan jalan yang mahal dan memakan masa.

Selain itu, masih terdapat kehilangan tenaga sekitar 15 hingga 20 peratus semasa proses pemindahan tenaga tanpa wayar, yang menimbulkan persoalan mengenai kecekapan sebenar sistem ini pada skala besar.

Tambahan pula, tidak semua kenderaan elektrik dilengkapi dengan sistem penerima induksi yang sesuai.

Maka, perlu ada standard global bagi memastikan keserasian antara pelbagai jenama kenderaan dengan infrastruktur pengecasan ini.

Selain cabaran teknikal, faktor sosial dan dasar juga memainkan peranan penting. Pihak kerajaan perlu menyesuaikan undang-undang serta piawaian keselamatan jalan raya agar sesuai dengan teknologi baharu ini.

Begitu juga dengan isu pembiayaan sama ada kos penyelenggaraan akan ditanggung kerajaan, syarikat konsesi atau pengguna melalui caj tol khas.

Bagaimanapun, kebanyakan pakar berpandangan bahawa kos tinggi pada peringkat awal akan berbaloi apabila penggunaan EV semakin meluas dan kos teknologi semakin murah.

Bagi negara-negara lain termasuk di Asia Tenggara, projek A10 di Perancis membuka dimensi baharu dalam perbincangan mengenai masa depan mobiliti hijau.

Banyak negara kini giat mempromosikan penggunaan EV melalui pelbagai insentif dan pembangunan stesen-stesen pengecasan awam.

Namun, cabaran utama tentang EV masih sama iaitu kebimbangan pengguna terhadap jarak perjalanan dan kekurangan infrastruktur pengecasan.

Jika teknologi pengecasan dinamik seperti di Perancis dapat diterapkan di lebuh raya utama, ia berpotensi mengubah landskap pengangkutan sesebuah negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN