KOTA BHARU – Sukar untuk mengesan individu yang disyaki mengambil ganja sintetik atau magic mushroom di dalam badan meskipun ujian saringan air kencing dijalankan terhadap klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu.
Pengarah Puspen Kota Bharu, Adzmiral Nawi berkata, klien hanya akan didapati positif dadah jenis Benzo melalui ujian urin sekiranya mereka mencampurkan cecair magic mushroom bersama pil epam atau dadah sintetik yang lain.
Menurutnya, klien yang mengambil magic mushroom yang dicampur dengan cecair vape sahaja tidak dapat disahkan positif pada ujian saringan air kencing.
“Buat masa ini, tiada ujian jalur (strip test) yang ada untuk mengesan klien mengalami ketagihan magic mushroom. Kita dapat tahu klien itu mengambil ganja sintetik apabila mereka sendiri mengaku menghisap vape yang dicampur cecair magic mushroom.
“Sebagai contoh, urin yang dijalankan pada klien yang mengambil pil kuda atau syabu mendapati mereka positif methamphetamine. Sama seperti urin terhadap kes ganja apabila kita dapat kesan dadah jenis tersebut. Bagi ganja sintetik, sukar untuk mengesan individu mengambil dadah itu melalui ujian saringan air kencing,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Puspen Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.
Adzmiral memberitahu, analisis yang dijalankan pihak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian terhadap sampel cecair magic mushroom sebelum ini mendapati bahan itu mengandungi bahan kimia butinaca, kanabinoid sintetik (MDMB-4en-Pinaca) dan pil ekstasi (MDMA).
Menurutnya, selain itu, tiada pengesanan dadah jenis psilosibin atau bahan aktif halusinogen yang sangat kuat sehingga ia dikenali sebagai magic mushroom di dalam cecair tersebut.
“Kebanyakan ibu bapa kepada klien remaja dan belia di Puspen Kota Bharu tidak memahami kesan pengambilan magic mushroom terhadap anak-anak mereka.
“Ibu bapa perlu memantau anak-anak jika dilihat mereka cuba mendekatkan diri untuk menggunakan vape kerana kita tidak tahu campuran di dalam peranti elektronik itu,” ujarnya.
















