PASIR MAS – Nasib empat daripada enam anak pemandu lori simen yang maut akibat serangan jantung semasa memandu kenderaan berat itu di Kubang Kerian, Kota Bharu dekat sini pada bulan lalu terjaga apabila mereka layak menerima pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dalam kejadian itu, Salmi Awang, 56, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian selepas lori rigid jenis Dong Feng dipandunya merempuh tiga buah kenderaan sebelum berhenti di tengah-tengah pembahagi jalan.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, empat anak arwah yang berusia sembilan hingga 18 tahun layak menerima pencen penakat sebanyak lebih RM1500 setiap bulan atas nama ibu, Hasliza Hasbullah, 51, sehingga usia mereka 21 tahun.
Menurutnya, Perkeso juga membuat bayaran faedah pengurusan jenazah berjumlah RM3,000 yang sudah dimasukkan ke dalam akaun Hasliza sebelum ini.
“Semakan segera dijalankan selepas kami menerima laporan berhubung kematian Allahyarham Salmi dan kita dapati isterinya layak menerima pencen penakat sehingga akhir hayat kerana empat anaknya masih bersekolah.
“Arwah yang mencarum dengan Perkeso selama 23 tahun ketika dia bekerja dengan dua syarikat termasuk di Kota Bharu dan Pulau Pinang,”katanya kepada pemberita selepas Ziarah Prihatin di rumah Hasliza di Kampung Kubang Nyor, Lemal di sini hari ini.
Sementara itu, Hasliza berkata, dia tidak menyangka suaminya merupakan pencarum Perkeso sepanjang 23 tahun bekerja dan bayaran pencen penakat itu dapat meringankan beban empat anaknya yang masih bersekolah.
“Saya hanya mengambil upah menjahit dengan pendapatan tidak seberapa dan pencen penakat ini amat membantu kami sekeluarga selepas kehilangan arwah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














