KAFE terasa seperti rumah. Itu merupakan gambaran yang ingin direalisasikan oleh empat beradik yang berganding bahu menguruskan sebuah perniagaan dalam dunia kulinari.
Menggabungkan kepakaran masing-masing dalam bidang makanan, minuman, manisan dan pengurusan, perniagaan diberi nama OFFSET Cafe itu terbentuk atas saranan ibu empat beradik tersebut.
Menurut ibu kepada empat beradik tersebut yang dikenali sebagai Dg Norlela Ahmad, OFFSET Cafe merupakan lambang keperibadian anak-anaknya dan platform buat mereka mengembangkan kreativiti, sekali gus membangunkan diri sendiri.
“OFFSET Cafe bukan perniagaan makanan yang tipikal, sebaliknya lebih kepada rumah kedua dan tempat anak-anak saya berkongsi minat serta idea mereka kepada orang ramai.
“Ia juga adalah ruang komuniti, iaitu orang ramai dapat bersantai sambil mencuba pelbagai hidangan dan minuman dihasilkan oleh anak-anak saya,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di OFFSET Cafe, Rain Tree Rain, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, apa yang membezakan OFFSET Cafe dengan kafe-kafe lain adalah dari segi menu kerana makanan yang ditawarkan tidak tetap setiap hari.
Bagaimanapun, terdapat beberapa sajian paling laris yang dikekalkan.
Menu dikekalkan hanya aneka kopi, sebaliknya minuman lain adalah berbeza mengikut ‘eksperimen’ yang dilakukan mereka.

Berkongsi tentang sajian yang ditawarkan, Faye Noor dan Amir Noor menggalas tugas untuk menyediakan makanan pencuci mulut dan ‘savoury’.
Kongsi Faye yang meminati dunia pencuci mulut, terdapat beberapa sajian mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan seperti carrot zucchini cake, musang king burnt cheesecake, cempedak masu cheesecake the OG burnt cheesecake, bread butter pudding dan rice pudding.
“Majoriti menu di OFFSET Cafe adalah pencuci mulut dan pastri yang dihasilkan secara berbeza-beza pada setiap hari, selain bestseller kami.
“Kami ada menawarkan biskut, kek, tart dan aneka pencuci mulut yang dihasilkan berdasarkan resipi sendiri termasuk berasaskan buah-buahan tempatan,” kata Faye.
Bagi menu savoury pula, Amir berkata, antara menu yang ditawarkan adalah aneka pai air, lasagna ayam serta ‘mash and bangers’ iaitu kentang putar bersama sosej, brisket ayam dan bawang karamel.
Bahagian minuman pula dikendalikan oleh Fatinah Noor dan Farah Noor yang membawa kepakaran mereka dalam penyediaan kopi serta air manis garapan sendiri.

Kongsi Fatin, kebanyakan air manis merupakan hasil rekaannya yang suka bereksperimen dengan pati air.
“Minuman manis kami berada dalam senarai ‘prototype’, di mana ia bergantung kepada jenis pati atau sirap yang saya hasilkan.
“Antara yang ada ketika ini adalah spice apple dan summersday iaitu minuman berasaskan campuran sitrus,” ujarnya yang mahir melukis doodle pada bungkusan makanan.
Kepakaran kopi pula diberikan kepada Farah yang mempunyai minat menjadi barista semasa menolong Faye bekerja di sebuah syarikat kulinari sebelum ini.
Kata Farah, kopi yang terdapat dalam menu adalah pilihan kegemaran ramai seperti latte, cuppuccino, mocha, caramel macchiato dan beberapa resipi sendiri.
Berkongsi tentang konsep kafe, Norlela memberitahu, ia adalah gabungan idea bersama tentang minat sosial anak-anaknya.
“Konsep kita lebih kepada rumah yang menggabungkan minat anak-anak.
“Pada umumnya, ia lebih kepada santai.
“Namun saya lebih melihat ia sebagai rumah kedua bukan sahaja kepada kami, malah pada pengunjung,” katanya.














