BERAKIT arus deras (water rafting) merupakan salah satu sukan lasak pilihan pencinta aktiviti luar dan alam semula jadi.
Aktiviti itu bukan sahaja boleh disertai oleh golongan berpengalaman, malah mereka yang baru pertama kali juga boleh melakukannya.
Aktiviti yang menguji adrenalin itu juga sesuai dilakukan bersama rakan-rakan.
Bagi penggiat dan operator aktiviti water rafting, Mohammad Nazirul Nazrin, 30, lokasi terbaik untuk melakukan aktiviti itu adalah di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Di Kuala Kubu Bharu, water rafting merupakan antara aktiviti luar yang wajib dilakukan oleh pencinta sukan lasak terutama di sekitar Sungai Selangor.
“Aktiviti ini bukan sahaja menguji keberanian dan kekuatan fizikal, bahkan memberi pengalaman mendebarkan yang sukar dilupakan,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, Sungai Selangor terkenal dengan jeram yang mencabar, sekali gus menjadikannya lokasi ideal bagi mereka yang ingin merasai debaran arus deras sambil menikmati panorama hutan khatulistiwa.
Laluan berakit di sini biasanya sejauh tujuh hingga lapan kilometer yang mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam untuk diselesaikan. Namun, ia bergantung kepada arus air dan tahap pengalaman peserta.
Terdapat beberapa gred jeram, bermula dari satu hingga empat. Setiap gred menawarkan tahap cabaran berbeza kepada peserta baharu mahupun yang berpengalaman.
“Sebelum aktiviti bermula, peserta akan diberi taklimat keselamatan oleh jurulatih profesional.
“Jurulatih akan menerangkan teknik mendayung, cara duduk di atas rakit dan tindakan kecemasan sekiranya terjatuh ke dalam air,” ujarnya.
Menurut Mohammad Nazirul, semua peserta diwajibkan memakai jaket keselamatan, topi keledar dan kasut yang sesuai.
Langkah keselamatan itu sangat penting kerana walaupun kelihatan menyeronokkan, namun water rafting tetap mempunyai risiko tersendiri jika tidak dikendalikan dengan betul.
Sepanjang perjalanan menuruni sungai, peserta akan melalui beberapa jeram yang mempunyai nama unik seperti Killer Drop, Broken Bridge dan Two Holes.
Setiap jeram memberikan pengalaman berbeza, ada yang membuatkan rakit terlonjak tinggi sebelum ‘terjun’ ke dalam air deras.
Ada juga bahagian yang tenang, di kawasan ini peserta boleh berehat sambil menikmati keindahan alam sekitar.
Bunyi deruan air, sorakan pasukan dan tawa kegembiraan menambahkan keseronokan sepanjang aktiviti berlangsung.
Aktiviti seperti itu bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu merapatkan hubungan antara keluarga dan rakan-rakan melalui semangat kerjasama ketika melawan arus.
Water rafting di Sungai Selangor juga merupakan gabungan sempurna antara cabaran, keseronokan dan keindahan alam semula jadi.
Ia memberi peluang kepada peserta untuk keluar dari zon selesa, menakluki ketakutan dan menikmati pengalaman luar biasa yang sukar diperoleh di tempat lain.
Kongsi Mohammad Nazirul, bagi mereka yang ingin mencubanya, aktiviti itu biasanya ditawarkan dalam bentuk pakej untuk semua peringkat daripada pemula hingga profesional.
Harga pakej biasanya sekitar RM150 hingga RM250 seorang termasuk peralatan keselamatan, jurulatih bertauliah dan makan tengah hari.
“Sesetengah pakej juga menawarkan aktiviti tambahan seperti abseiling, tubing, flying fox dan jungle trekking untuk melengkapkan pengalaman pengembaraan alam semula jadi.
“Selain melakukan water rafting, pengunjung juga boleh mengambil kesempatan untuk bermalam di inap desa, glamping atau resort di tepi sungai. Ini membolehkan pengunjung menikmati suasana malam yang sejuk dan tenang,” katanya.
















