ISKANDAR PUTERI – Tiga pekerja kapal maut, manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia terbakar di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.23 tengah hari tadi.
Katanya, mangsa yang maut merupakan warga tempatan berusia 59 tahun dan warga Filipina serta Britain masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an.
“Pasukan BBP Iskandar Puteri tiba di lokasi pada pukul 12.40 tengah hari. Siasatan mendapati kebakaran berlaku ketika kerja-kerja pemunggahan kontena dijalankan di bahagian bawah geladak (under hatch) Blok 5.
“Kejadian melibatkan enam mangsa dengan tiga maut, manakala tiga lagi cedera iaitu lelaki tempatan berusia 26 tahun dan dua lelaki Filipina berusia 40-an. Mangsa yang cedera dihantar ke sebuah hospital swasta oleh ambulan PTP,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi kejadian. Pemadaman awal dilakukan oleh bomba PTP menggunakan dua bot tunda dibantu kerja-kerja pemunggahan oleh Quay 118.
“Pihak bomba membuka Pos Kawalan Hadapan dan operasi masih dijalankan dengan kerjasama pihak PTP,” katanya.-KOSMO! ONLINE














