MASIHKAH ada yang mahu peduli tentang Festival Filem Malaysia minggu lalu.
Khalayak sudah cukup tahu, tahun ini, Babah, kisah bapa pekak membesarkan anak perempuan yang menghidap sejenis penyakit jarang berlaku, menang besar mengalah filem-filem lain yang gempak.
Jika sudah bosan dan berasa tidak perlu tahu lebih lanjut, mari kita singkap selangkah ke depan tentang evolusi atau gerakan filem nasional kita.
Tetapi sebelum pergi jauh sedikit, kalau ada terasa mahu mengulit semula cinta seperti zaman sekolah menengah pergilah seketika menjenguk Rangga & Cinta yang kembali dengan versiu Gen Z, masihkah vibe sama seperti Cimta dan Rangga dalam versi Ada Apa Dengan Cinta 2002/2016, tengoklah sendiri.
Okey, ketepikan kisah yang memenuhkan mimpi dan melambungkan perasaan ke langit ketujuh itu kerana ada kecintaan sebenar yang ingin diutarakan di sini.
Acara FFM sudah berlalu, di takuk lama atau ada pembaharuan pun begitulah FFM, format begitu sudah tertanam, yakni harus menjunjung asprasi nasional.
Tahniah buat untuk penganjuran majlis yang melimpah tetamu sehingga tiada satu pun kerusi kosong dalam dewan serba gah di Kota Media di atas bukit Angkasapuri itu.
Selepas FFM, sebenarnya ke mana langkah filem tanah air? Ramai yang melihat Oscars, tetapi sudah namanya Oscars, hanya sebuah filem yang benar-benar karya terbaik Malaysia dipilih mewakili Malaysia ke peta filem dunia tersebut.
Untuk ke Oscars, janganlah kita berharap filem-filem seperti Blood Brother, Bara Naga, Reversi, Soloz: The Game Of Life, Takluk: Lahad Datuk atau Babah, biarpun Babah ada nilai kemanusiaan tinggi yang selalu ditekan dalam penjurian Oscars atau Anugerah Akademi, malangnya pemilihan ke acara itu tidak menyenaraikan calon popular.
Tahun ini, naskhah pilihan Finas untuk dinilai dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada majlis yang akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2026 nanti adalah Pavane for an Infant. Pernah dengar tak?
Sentuhan Chong Keat Aun (pengarah Snow In Midsummer calon Top 5 FFM34), filem kerjasama Malaysia-Hong Kong tersebut mengisahkan pekerja sosial di pusat perlindungan bayi di Kuala Lumpur yang membantu wanita-wanita malang mendepani stigma kehamilan dan keibuan dalam masyarakat konservatif.
Dengan potensi besar sinema tempatan ke pentas global dan rekod sebagai penerima Youth Jury Award pada Fribourg International Film Festival 2025 dan Golden Silk Road Award atau Lakon
Layar Terbaik pada 121h Silk Road International Film Festival serta pernah bertanding dalam banyak festival berprestij dunia, antaranya Hong Kong International Film Festival (2025), Istanbul International Film Festival (2025), New York Asian Film Festival (2025), Taipei Golden Horse Film Festival (2024) dan Tokyo International Film Festival (2024), Pavane for an Infant dikira selayaknya ke Oscars.
Untuk filem-filem Melayu yang sudah kita rasa hebat tak kiralah dari segi naratif atau catatan Box-Office, teruskan berkokok di bumi sendiri, Oscars hanyalah sekali setahun, lagi pun sudah banyak yang dihantar walau sekadar meraih semangat.
Seniman harus hari-hari cari makan bukan trofi, tinggal lagi jangan lupa isi perut rohani anak Malaysia dengan karya ‘emas’. Untung sabut timbul untung batu tenggelam.
















