KOTA TINGGI – Peniaga MyKiosk di Taman Sri Saujana kecewa apabila jualan mereka merosot dengan ketara sejak berpindah ke tapak baharu di Persiaran SS1 di sini sejak Mei lalu.
Seorang peniaga burger, Nursyahmi Aman, 32, berkata, hasil jualannya menurun sebanyak 60 peratus selepas berpindah ke lokasi tersebut yang dianggap kurang strategik.
“Kalau dulu, paling sedikit dapat jual 80 biji burger sehari, sekarang 30 hingga 40 biji sahaja. Ramai pelanggan tetap dari luar tidak tahu saya berpindah ke sini bahkan ada yang sangka saya sudah meninggal dunia.
“Usaha memindahkan peniaga dan diseragamkan melalui MyKiosk ini memang bagus, namun lokasi baharu agak terlindung dan sukar dilihat orang ramai.
Bagi saya, MyKiosk ini selesa dan cantik, cuma kedudukannya sahaja bukan di laluan orang ramai. Hanya penduduk taman sahaja yang tahu,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, dia dan 14 peniaga lain dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa langkah memindahkan lokasi itu merupakan tempoh percubaan selama enam bulan, namun setakat ini tiada sebarang maklum balas lanjut.
Bahkan terdapat peniaga yang terpaksa menutup operasi kerana tidak sanggup menanggung kerugian.
“Kami ada tanggungan yang perlu disara. Mungkin sesuatu boleh dilakukan pihak berkaitan untuk mempromosikan kawasan baharu ini. Sebelum ini kami dijanjikan promosi, tapi belum dilaksanakan,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Kamis Omar, 43, turut kecewa dengan janji pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap peniaga di tepi jalan yang masih belum ditunaikan sedangkan mereka yang berniaga secara sah di MyKiosk pula berdepan jualan merosot.
“Peniaga tepi jalan masih bebas. Dulu pihak berkuasa janji akan ambil tindakan terhadap peniaga tepi jalan selepas kami pindah masuk MyKiosk. Kami sanggup berkorban demi mematuhi arahan, tapi sekarang terpinggir pula,” katanya.
Tambahnya, lokasi baharu yang tidak mempunyai kemudahan pencahayaan dan berada di jalan mati turut menambahkan kesulitan kepada peniaga terutama yang melakukan aktiviti jualan pada waktu malam.














