PETALING JAYA – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan segera susulan kejadian jatuhan bongkah batu di Blok 3, Pangsapuri Mutiara Court, Taman Bukit Permai, dengan melaksanakan kerja-kerja pemasangan tali keselamatan serta pembersihan kawasan terjejas sejurus selepas insiden berlaku.
MPAJ dalam kenyataan berkata, barrier turut dipasang sebagai langkah keselamatan awal dan kerja-kerja pembersihan diteruskan hari ini bagi memastikan kawasan sekitar kembali selamat untuk penduduk.
Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan penyelenggaraan pokok liar di cerun batuan serta pemasangan semula wire netting yang rosak akibat kejadian berkenaan. “Kerja penstabilan cerun secara menyeluruh turut akan dijalankan bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.
“MPAJ juga akan menjalankan kajian pemetaan geologi struktur terkini bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Ikram bagi menilai tahap keselamatan cerun tersebut,” kata kenyataan itu.
MPAJ menasihatkan penduduk tidak menghampiri atau meletakkan kenderaan berhampiran kawasan terjejas serta segera melaporkan sebarang tanda awal jatuhan batuan kepada Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPAJ atau talian bebas tol 1800-22-8100.
Kejadian yang berlaku pagi semalam melibatkan cerun batuan dengan anggaran jarak 20 meter dari Blok 3 pangsapuri berkenaan dan mengakibatkan enam buah kenderaan terjejas, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan. – KOSMO! ONLINE














