PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan gangguan yang dialami pengguna di antara laluan Batu Tiga ke Subang Jaya pada pukul 8.30 pagi tadi berpunca daripada alat talian atas terputus.
KTMB dalam kenyataan berkata, ekoran daripada insiden tersebut, laluan antara Subang Jaya dan Batu Tiga tidak dapat digunakan buat sementara waktu.
“Perkhidmatan tren komuter telah mengalami kelewatan melebihi 60 minit daripada jadual asal dan ditamatkan lebih awal disebabkan operasi tren menggunakan satu landasan sahaja.
“Oleh yang demikian, tren-tren bagi laluan Pelabuhan Klang – Tg. Malim telah tamat di Stesen Shah Alam, Batu Tiga dan Padang Jawa dan penumpang diaturkan menaiki bas perantara ke Stesen Subang Jaya untuk meneruskan perjalanan ke destinasi,” katanya.
KTMB memaklumkan bahawa bagi jadual perjalanan sebelah petang, semua tren dari KL Sentral akan beroperasi sehingga Stesen Subang Jaya sahaja sebagai hentian terakhir sementara kerja pembaikan dijalankan.
Katanya, penumpang akan menaiki bas perantara yang disediakan di antara Subang Jaya – Shah Alam dan menyambung semula perjalanan menggunakan tren komuter bermula dari Stesen Shah Alam ke Pelabuhan Klang.
“Pasukan teknikal KTMB kini berada di lokasi kejadian dan kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan bagi memastikan perkhidmatan tren dapat dipulihkan dan beroperasi seperti biasa secepat mungkin.
“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh para penumpang dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak,” katanya.
Terdahulu beberapa hantaran di media sosial tular apabila orang ramai terperangkap lebih daripada sejam dalam keretapi tersebut tanpa bekalan elektrik sejak pukul 8 pagi. – KOSMO! ONLINE














