KUALA LUMPUR – Havoc Event & Management Sdn. Bhd. akan menganjurkan Havoc Trio Festival 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Festival yang berlangsung dari 4 hingga 7 Disember itu menghimpunkan tiga segmen utama iaitu jualan akhir tahun, pesta makanan dan karnival kembali ke sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Datuk Firdaus Nadxaman berkata, festival tersebut dibuka kepada orang ramai bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam.
Jelas beliau, lebih 300 vendor pelbagai kategori termasuk makanan viral, gaya hidup, produk pendidikan dan kelengkapan persekolahan.
““Havoc Trio Festival bukan sekadar festival, tetapi satu platform untuk menyatukan komuniti usahawan, vendor, pelancong dan keluarga.
“Kami mahu menjadikan acara ini sebagai festival rakyat yang merancakkan ekonomi tempatan sambil menghidupkan semangat kebersamaan hujung tahun,”katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, festival tersebut dijangka menarik lebih 500,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran.
Lebih istimewa katanya, festival itu juga akan disertai ramai selebriti, jenama besar, serta aktiviti Islamik dan kerohanian yang memberi nilai tambah kepada seluruh pengunjung.
“Selain tawaran jualan akhir tahun, pengunjung turut akan menikmati promosi eksklusif, diskaun besar-besaran, aktiviti komuniti, persembahan artis, dan kejutan menarik setiap malam.
“Buat pertama kali, Havoc Trio Festival 2025 turut memperkenalkan program Islamik yang mengetengahkan elemen kerohanian dan perpaduan ummah,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














