PENCINTA aktiviti alam semula jadi tentu sahaja tidak akan melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki ke Merapoh yang terletak daerah Lipis, Pahang.
Bukan sahaja menyajikan keindahan flora dan fauna, Merapoh turut menjadi destinasi pilihan bagi peminat aktiviti lasak dan pengembaraan hidupan liar.
Kawasan dikelilingi gugusan batu kapur berusia jutaan tahun itu menjadi lokasi unik untuk diterokai, sekali gus memperkukuh potensi sebagai hab ekopelancongan di Pahang.
Menurut Pengarah Urusan SGIOutdoor Merapoh Travel Sdn. Bhd., Mohd. Syukri Jali, Merapoh menawarkan pengalaman berbeza yang sukar diperolehi di tempat lain.
“Eksplorasi gua atau spelunking menjadi tarikan utama di Merapoh kerana terdapat lebih 80 hingga 100 gua batu kapur.
“Antaranya Gua Padang Kawad, Gua Jenjang Pelamin dan Gua Sisik Naga yang mempunyai formasi stalaktit serta stalagmit menakjubkan.
“Hasil pembentukan semula jadi sejak jutaan tahun lalu, setiap gua menyimpan ceritera geologi tersendiri.
“Ini memberi peluang kepada pengunjung mempelajari ekosistem habitat semula jadi spesies kelawar, serangan serta tumbuhan unik,” kongsinya kepada CitaRasa.
Panorama Air Terjun Sungai Kelam dengan anggaran ketinggian sekitar enam hingga 10 meter bukan sahaja memberikan kedamaian, malah menambat hati mereka yang memandang keindahan ciptaan Maha Esa itu.
Pengunjung yang meminati cabaran mendaki, kawasan Merapoh turut menawarkan aktiviti mendaki tebing batu atau rock climbing yang menguji kemahiran teknikal serta ketahanan mental peserta.
Lebih menarik, kehadiran laluan ‘via ferrata’ pertama di kawasan gua di negara ini menjadikan pengalaman pendakian lebih selamat dan terarah.
“Laluan besi sepanjang kira-kira 130 meter di Gua Tagang ini membolehkan peserta menikmati pemandangan panorama Merapoh dari ketinggian yang mengagumkan.
“Aktiviti ini dikendalikan oleh jurulatih bertauliah dengan pematuhan peralatan keselamatan yang memenuhi piawaian antarabangsa kerana keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap aktiviti dianjurkan,” tegasnya.
Tambah Mohd. Syukri, para peserta diwajibkan memakai peralatan keselamatan seperti topi keselamatan dan abah-abah.
Peserta juga diberikan taklimat secara terperinci tentang penjagaan keselamatan untuk aktiviti tersebut.
Faktor cuaca dan risiko banjir kilat di dalam gua turut dipantau bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Taklimat keselamatan diberikan bagi memastikan peserta memahami prosedur kecemasan dan cara penggunaan peralatan dengan betul.
“Malah, aktiviti itu hanya dijalankan dalam kondisi cuaca selamat dengan bilangan peserta dikawal bagi memastikan pengawasan optimum,” ujarnya.
Selain aktiviti lasak, Merapoh turut menawarkan peluang bagi pengunjung menikmati suasana alam yang tenang melalui aktiviti seperti jungle trekking, perkhemahan dan fotografi alam.
Keunikan geologi, biodiversiti terpelihara dan pendekatan pengurusan pelancongan secara lestari menjadikan Merapoh destinasi wajib dikunjungi.
















