PETALING JAYA – Kubah yang direka khas di pintu masuk utama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan ditutup kepada orang ramai esok.
Menurut hantaran yang dikongsikan seorang petugas ASEAN di aplikasi Thread milik Fatin Nur, kubah tersebut akan dibuka kepada pengunjung sehingga pukul 6 petang.
“Hi semua! Terima kasih sudi hadir. Disebabkan sambutan yang menggalakkan kubah Asean Summit 2025 ini akan melabuhkan tirainya pada pukul 6 petang, 2 November (Ahad).
“Marilah datang melawat ikonik kubah Asean Summit 2025! Jumpa di sini ya! Terima kasih Perdana Menteri,” katanya.
Difahamkan, kubah itu pada asalnya dibuka kepada orang awam selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga hari ini selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 melabuhkan tirainya pada Selasa lalu. Bagaimanapun tempoh itu dilanjutkan sehingga esok berikutan sambutan luar biasa daripada pengunjung.
Kubah berketinggian 10 meter (m) dengan diameter 20m itu dihiasi pelbagai flora dan fauna serta pancuran air bagi menyambut kehadiran pemimpin dunia sepanjang sidang tersebut berlangsung.
Kubah itu juga menjadi ‘saksi’ pertemuan kali pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 26 Oktober lalu.
Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati ramai pengunjung tidak melepaskan peluang merakam dan berkongsi gambar kenangan di dalam kubah tersebut selain ada yang memuji usaha dan kreativiti ‘tulang belakang’ di sebalik pembinaannya yang disifatkan unik.
“Dah sampai sini semalam, terima kasih bagi peluang ni dekat kami. Merasalah juga walau bukan staf ASEAN,” komen Qistina.
“Siapa pun penganjur acara yang berjaya menyiapkan latar dan hiasan di bawah kubah ini, saya cuma nak cakap korang memang buat kerja yang hebat! Cantik gila!,” komen Teeya.
“Hadir dah semalam. Tak sangka sejuk betul kubah ni. Terbaik ‘team designer’ korang memang hebat,” katanya Fauzan. – KOSMO! ONLINE














