CICHLA temensis atau ramai lebih gemar memanggilnya sebagai temmy dianggap sebagai king dalam keluarga PB kerana saiznya yang besar, corak unik dan kekuatan sukar ditandingi
Walaupun Melaka sebuah negeri yang kecil, namun ia cukup kaya dengan sumber air buatan manusia.
Dari lombong tinggal, tasik rekreasi, empangan kecil hingga kolam tadahan, hampir setiap daerah ada kawasan air tawar yang luas dan stabil.
Suasana perairan yang tenang dengan kedalaman sederhana, ditambah bekalan makanan seperti anak-anak ikan lampam, seluang dan tilapia, ia menjadi habitat ideal untuk temmy.
Ditambah pula dengan iklim panas lembap sepanjang tahun, kadar pembiakan dan tumbesaran temensis di Melaka agak memberangsangkan.
Jadi, tidak hairanlah ramai kaki casting menggelar Melaka sebagai ‘lubuk temmy’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sejarah
PB asalnya bukan spesies ikan tempatan. Ia berasal dari sistem Sungai Amazon di Amerika Selatan, dan mula diperkenalkan ke Asia Tenggara sekitar awal 90-an.
Di Malaysia, rekod awal menunjukkan spesies ini dibawa masuk sama ada secara tidak rasmi untuk tujuan rekreasi atau dilepaskan dari kolam ternakan. Dari situlah, ia mula menular ke perairan awam.
Di Melaka, kewujudan Cichla temensis dipercayai bermula sekitar tahun 2000-an.
Sebelum itu, hanya Chicla monoculus dan Chicla orinocensis yang banyak ditemui.
Namun lama-kelamaan, Cichla temensis pula yang mengambil alih tempat kerana keupayaannya membesar dengan lebih cepat dan memberi cabaran ekstrem kepada pemancing.
Temmy berbanding PB
Jika Chicla monoculus kebiasaannya ditemui saiz sekitar antara satu hingga dua kilogram (kg), Chicla temensis pula mampu mencapai saiz lebih dari 5kg.
Malah di luar negara, ada rekod temensis mencecah belasan kilogram.
Dari segi fizikal, badannya lebih panjang dengan corak loreng hitam yang tebal di sisi badan.
Kadang-kadang, terdapat bintik kuning keemasan yang menambah keunikan rupanya.
Namun apa yang paling membuatkan ia digilai adalah kekuatan sambarannya terhadap gewang dan perlawanan padunya.
Ia bukan sahaja melawan dengan kuasa pecutan, bahkan kerap membuat aksi terjahan dan lompatan keluar dari air.
Itulah sebabnya temensis dianggap lawan yang brutal dalam dunia mengilat air tawar.
Teknik
Memancing temmy bukan sekadar baling dan karau gewang.
Ada teknik tersendiri dan pemilihan gewang boleh menjadi penentu hasil.
Antara gewang dan teknik yang sinonim dengan spesies ini ialahtopwater (pencil, popper, propbait) .
Saat temmy ‘meletup’ di permukaan air, pasti membuat jantung berdegup kencang. Dentuman hasil serangan ini antara momen paling diidamkan oleh kaki casting.

Minnow dan jerkbait (gewang selaman cetek) iaitu gewang berbentuk ikan kecil yang digayakan dengan karauan diselang-seli hentian sekejap. Ketika berhenti, ia kelihatan seperti anak ikan yang lemah, saat inilah temmy biasanya akan menyambar tanpa amaran.
Crankbait (gewang selaman dalam) biasanya digunakan apabila ikan bermain di pertengahan air atau berhampiran struktur.
Warna menyerupai ikan kecil lebih berkesan untuk memperdaya temmy yang culas.
Soft plastic adalah pilihan terbaik apabila ikan tidak sudi dengan gewang keras. Digayakan perlahan berhampiran tebing atau struktur, ia sering menghasilkan sambaran mengejut.
Spinfly pula ringkas tetapi sangat efektif terutama bila temmy sedang frenzy memburu anak-anak ikan yang halus. Aksi umpan bulu fly yang beralun dalam air sering mencetuskan serangan spontan.
Carolina rig adalah soft plastic yang diseret di dasar apabila temmy berada di perimeter paling dalam.
Dari segi set mengilat, joran berkekuatan 6–12lb hingga 10–20lb sudah memadai, dipadankan dengan tali braided 10–20lb dan leader fluorocarbon 20-30lb.
Temensis terkenal dengan kuasa pecutan padu, jadi kekili dengan drag yang kuat sangat penting.
Baik atau buruk?
Perbincangan tentang temmy sebagai spesies ikan pendatang yang invasif memang tiada kesudahan.
Ada yang melihat kehadirannya sebagai positif kerana memberi cabaran sukan memancing kepada pengilat, sekali gus menjana industri memancing tempatan.
Namun dari sudut ekologi, temmy tetap berpotensi mengganggu keseimbangan ikan tempatan kerana tabiat makannya yang rakus.
Spesies ikan-ikan kecil seperti lampam, terbul, seluang dan sebagainya termasuk udang galah boleh berkurangan jika populasi ikan ini tidak dikawal.
Justeru, kawalan dan pemantauan wajar dilakukan. Jika terlalu banyak, ia mungkin mengancam biodiversiti tempatan.
Tetapi jika dikawal dengan baik, ia boleh menjadi aset sukan memancing dan tarikan pancing rekreasi di Melaka.
Hari ini, temensis bukan sahaja sinonim dengan Melaka, malah sudah menjadi ikon tersendiri dalam dunia casting air tawar.
Saiznya yang besar, sambaran bertenaga dan habitat luas menjadikan ia antara spesies buruan utama kaki pancing.
Ada kawasan yang mudah diakses orang ramai, dan ada juga lombong-lombong lama tetapi kaya dengan spesies ini.
Apa-apa pun, inilah yang menjadikan Melaka cukup unik berbanding negeri-negeri lain, ia menawarkan banyak habitat ideal untuk temmy.















