fbpx
SHAHARUDDIN (tengah) dan `Ainu Sham (kiri) bergambar bersama pemenang CIPTA Pertandingan Pereka Kraf Muda Barang Kemas pada Majlis Jalinan Media dan Apresiasi Strategik di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Kraftangan Malaysia perkasa bakat muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) terus memperkasakan seni kraf logam tempatan menerusi penganjuran CIPTA Pertandingan Pereka Kraf Muda Barang Kemas yang menjadi platform terbaik untuk mengiktiraf bakat dan kreativiti belia dalam bidang tersebut.

Bersempena Majlis Jalinan Media dan Apresiasi Strategik yang diadakan di ibu negara baru-baru ini, Kraftangan Malaysia mengadakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan berkenaan yang telah berlangsung pada 4 dan 5 Februari 2025 di Dewan Cindai, Institut Kraf Negara (IKN).

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, dan turut dihadiri Pengerusi Kraftangan Malaysia, Mohd. Al-Hafizi Ab. Bakar serta Ketua Pe­ngarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Ramli.

Shaharuddin berkata, rakan strategik dan pemain industri memainkan peranan yang amat pen­ting dalam memperkasakan industri kraf negara.

“Dengan sokongan, kepakaran dan jaringan yang dimiliki, mereka membantu memperluas capaian pasaran, memperkukuh nilai ko­mersial produk kraf serta memperkenalkan inovasi yang relevan dengan kehendak semasa.

“Melalui kerjasama yang berte­rusan ini juga, saya yakin ruang untuk inovasi, pertukaran idea serta pembangunan kapasiti akan terus berkembang, sekali gus memperkasa industri kraf ke tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing di peringkat domestik serta global,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Pertandingan yang berkonsepkan ‘Reka dan Bina: Dari Konsep ke Realiti’ itu bertujuan memangkin kreativiti serta kemahiran belia dalam penghasilan produk barang kemas tempatan, di samping memastikan kelestarian seni kraf logam halus Malaysia terus dipelihara.

Sebanyak 97 penyertaan individu berusia antara 18 hingga 30 tahun diterima pada peringkat sa­ringan yang dibuka pada September tahun lalu, sebelum lapan peserta dipilih ke peringkat akhir.

Setiap peserta perlu meny­i­apkan rekaan loket perak seberat tidak melebihi 30 gram dalam masa lapan jam dengan menerapkan nilai-nilai warisan seperti motif, warna, teknik pembuatan dan amalan budaya tempatan.

Pelajar Raffles College of Higher Education, Kuala Lumpur, Lu Yu Cheng dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Sementara itu, pelatih Institut Kraf Negara, Abdul Rahman Abd. Majid meraih tempat kedua dengan hadiah RM2,000, manakala pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Muhammad Shafiq Mahadi menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,000, trofi dan sijil.

Selain itu, lima pemenang hadiah saguhati masing-masing turut membawa pulang wang tunai RM500, trofi dan sijil.

Menurut Kraftangan Malaysia, pertandingan ini bukan sekadar ruang pertandingan semata-mata, tetapi medium pengiktirafan kepada rekaan yang mempunyai nilai estetika, kualiti dan potensi komersial tinggi, sekali gus membantu meng­angkat nama pereka tempatan ke peringkat lebih luas termasuk antarabangsa.

Selain penyampaian hadiah, sijil penghargaan turut diberikan kepada 16 jabatan, agensi dan hotel yang menjadi rakan strategik Kraftangan Malaysia sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan serta kerjasama berterusan dalam memartabatkan industri kraf negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI