PETALING JAYA – Agensi pelancongan dan pelayaran terkemuka, Hwajing Travel & Tours Sdn. Bhd. mengumumkan kapal persiaran pertama dari China yang akan berpengkalan di Malaysia, M/V Piano Land bakal memulakan pelayaran sulung pada 29 November 2025.
Pengumuman itu bertepatan dengan Pameran MATTA Muslim-Friendly Travel Fair (MFTF) pada 18-19 Oktober 2025, di mana Hwajing tampil sebagai Rakan Rasmi Kapal Persiaran.
Dioperasikan oleh Astro Ocean Cruise, M/V Piano Land dengan jumlah berat kasar 70,000 tan dan kapasiti 1,760 penumpang menawarkan pelbagai kemudahan menarik termasuk 880 kabin serba lengkap, pelbagai pilihan makanan halal, serta persembahan teater gaya Broadway dan hiburan budaya menarik.
Turut disediakan arked membeli-belah, pusat kesihatan, kemudahan rekreasi, kelab kanak-kanak khas dan program mesra keluarga serta pusat kecergasan, spa dan pelbagai kolam renang.
Pengarah Urusan Hwajing, Kenny Cheong berkata, Malaysia kini melangkah lebih jauh dalam pelancongan mesra Muslim yang merentasi sempadan lautan.
“Kami membuktikan bahawa pelayaran mewah M/V Piano Land mampu menawarkan pengalaman yang mematuhi nilai-nilai halal serta meraikan kepelbagaian budaya.
“Ia mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menyambut pelancong dari pelbagai latar belakang dengan penuh tradisi dan kemesraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelancaran M/V Piano Land melengkapi usaha berterusan Malaysia untuk memenuhi permintaan segmen pelancongan mesra Muslim yang berkembang pesat dengan nilai pasaran disasarkan melebihi AS$300 bilion (RM1.26 trilion) menjelang 2030. – KOSMO! ONLINE