BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mempamerkan aksi cukup baik ketika merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic yang berlangsung di Vantaa, Finland kelmarin.
Pada perlawanan akhir di Energia Areena itu, gandingan No. 2 dunia berkenaan tidak berdepan banyak masalah apabila mudah menewaskan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-7, 21-9 dalam tempoh 32 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah meraih gelaran kedua mereka musim ini selepas turut bergelar juara ketika beraksi di Terbuka Thailand pada Mei lalu.
Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak memuji aksi ditampilkan kedua-dua anak buahnya itu pada aksi final apabila berjaya menguasai dan mendominasi sepenuhnya permainan.
“Mereka bermain dengan tenang dan mengikut segala perancangan yang sudah diatur. Mereka juga menunjukkan kawalan permainan yang cukup baik dengan memberi perhatian kepada pukulan-pukulan ‘placing’.
“Selain itu, Pearly-Thinaah juga tidak tergesa-gesa untuk melakukan serangan ke arah pemain lawan selain mempamerkan aksi bertahan yang cukup baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Pearly-Thinaah juga berjaya menebus kekecewaan tahun lalu apabila akur muncul naib juara Terbuka Arctic selepas tewas kepada beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final.
Sementara itu, Rosman turut berharap kedua-dua pemain itu mampu mengekalkan momentum tersebut selain terus menaruh sepenuh kepercayaan sesama sendiri menjelang Terbuka Denmark hari ini.
“Kunci utama sudah semestinya kepercayaan sesama sendiri yang sentiasa kuat. Saya juga berharap mereka dapat mengekalkan momentum ini menjelang kejohanan-kejohanan akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE