PETALING JAYA – Pelakon dan model Zahnita Wilson memberi amaran kepada mangsa keganasan rumah tangga agar bersedia dengan sebarang kemungkinan dilakukan oleh bekas pasangan yang akan terus memusnahkan kehidupan mereka pada masa akan datang.
Menurut Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, pelbagai perkara akan dilakukan bekas pasangan termasuk penyebaran fitnah bagi mencipta imej negatif mengenai mangsa.
“Apabila berjaya keluar dari situasi itu, pasti akan rasa lega dan bebas daripada persekitaran toksik yang selama ini meranapkan semangat serta kehidupan kalian.
Saya ingin memberi amaran bahawa penderaan itu tidak akan berhenti! Berhati-hatilah dengan kempen fitnah dan orang suruhan mereka.
“Mereka mungkin akan membuat kenyataan palsu, tuduhan liar dan cerita rekaan semata-mata untuk menjatuhkan imej kalian serta mengalih perhatian mahkamah,” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Lebih parah, dia berkata pihak tersebut juga akan sanggup menggunakan anak-anak untuk menghancurkan kehidupan wanita tersebut.
“Bersedialah, kerana anak-anak juga akan dijadikan senjata untuk melawan kalian.
“Mereka akan berusaha keras untuk menghancurkan semangat, menghalang daripada bekerja dan mencari pendapatan.
Mereka rasa puas dengan penderitaan kalian.
“Bersedialah dari segi mental dan emosi. Berhati-hatilah kerana kamu mungkin akan diperhati dan diugut,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, dia juga tidak menolak kemungkinan mangsa akan dituduh melakukan pelbagai bentuk jenayah
Bersedialah juga untuk sebarang pertuduhan jenayah seperti ugutan dan rasuah.
“Kamu mungkin akan kaku, menangis dan rasa hilang kewarasan tetapi tak mengapa! Tidak kira betapa sukarnya perjuangan ini, jangan sesekali berpatah balik!
“Dalam kesabaran pasti ada kebaikan dan kebenaran akan terbukti.
“Sudah terlalu lama saya tidak meluah begini dan harap dapat membantu kalian,” ujarnya yang kini masih dalam proses perceraian susulan dakwa dikasari dan tiada lagi persefahaman.
Pada 2 Disember tahun lalu, kisah Zahnita mendapat perhatian meluas apabila berkongsi foto dalam Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.
Dakwa aktres berkenaan, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suaminya iaitu Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor.
Zackery mendirikan rumah tangga dengan Zahnita pada 2005. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun. – KOSMO! ONLINE