KAJANG – Acara berbasikal RHB LEKAS Highway Ride 2025 berlangsung dalam keadaan cukup meriah malam tadi apabila berjaya menarik penyertaan 6,017 peserta dari 23 buah negara.
Berlangsung di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), acara kayuhan malam yang sudah pun memasuki edisi ke-10 itu menyaksikan peserta ‘menguasai’ sepenuhnya laluan lebuh raya tersebut.
Peserta daripada pelbagai peringkat usia bersaing dalam empat kategori utama termasuk 105 kilometer (km) Kayuhan Kompetitif, 78km Kayuhan Umum serta 17km dan 12km Kayuhan Terbuka dan Remaja.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd. Rashid Mohamad berkata, penganjuran kali ke-10 itu cukup bermakna dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat selain menghubungkan komuniti.
“Edisi ke-10 RHB LEKAS Highway Ride amat bermakna buat kami di RHB kerana ia turut menandakan tahun kelapan kami sebagai penaja utama acara ini.
“Ia bukan sekadar perlumbaan basikal, tetapi turut menghubungkan komuniti, menggalakkan gaya hidup sihat selain mencipta pengalaman yang berkekalan,” katanya.
Tambahnya, acara itu membuktikan bahawa sukan berbasikal sudah menjadi jambatan sosial yang mampu menghubungkan masyarakat daripada pelbagai lapisan serta latar belakang.
Selain aktiviti kayuhan di lebuh raya, acara itu turut dihiasi dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti karnival keluarga selain diserikan dengan persembahan ratu rock tanah air, Ella. – KOSMO! ONLINE