KAJANG – Seorang lelaki maut manakala 18 lagi cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas melanggar tiang papan tanda di KM 293.4 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala Utara berhampiran susur keluar Southville, awal pagi tadi.
Mangsa, Chew Sin Heng, 59, tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian manakala penumpang lain yang cedera menerima rawatan kecemasan di lokasi tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.57 pagi.
Menurutnya, seramai 18 anggota beserta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, BBP Seri Kembangan dan BBP KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat sebuah bas ekspres terbabas sendiri melanggar tiang papan tanda.
“Seramai 19 orang mangsa termasuk pemandu bas yang terlibat. Seorang mangsa lelaki, Chew Sin Heng tersepit dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ahmad Mukhlis, bomba mengeluarkan tiga mangsa pada pukul 3.48 pagi dan selebihnya keluar dari bas tersebut sebelum pihaknya tiba.- KOSMO! ONLINE