fbpx
Gambar hiasan - AFP

Dua tahun dibedil, 66,000 rakyat maut, 100,000 bangunan musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dua tahun selepas serangan tanpa henti rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza, wilayah itu kini hanya tinggal sebagai kawasan runtuhan penuh berdebu, percikan darah di merata-rata serta perasaan duka dalam kalangan penduduknya.

Pemerhati antarabangsa sebelum ini menyifatkan angka korban manusia dan kemusnahan fizikal di Gaza sebagai antara paling dahsyat dalam sejarah moden.

Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, sejak peperangan bermula pada 7 Oktober 2023, lebih 66,000 penduduk Gaza terbunuh merangkumi kanak-kanak dan wanita.

Serangan berterusan menggunakan bom berkuasa tinggi di wilayah itu turut menyebabkan 170,000 lagi cedera, dengan sebahagian besar mengalami kecederaan parah atau cacat kekal.

Sementara itu, isu kebuluran yang melanda akibat sekatan ketat terhadap bekalan makanan dan ubat-ubatan turut meragut lebih 400 nyawa termasuk 121 kanak-kanak, selepas bantuan kemanusiaan gagal memasuki wilayah itu dalam jumlah mencukupi.

Selain kehilangan nyawa, Gaza kini musnah hampir sepenuhnya dengan anggaran 100,000 bangunan musnah meliputi 80 peratus sekolah dan separuh daripada kemudahan kesihatan.

Bagaimanapun, kurang daripada 10 pusat kesihatan di Gaza yang masih beroperasi namun berdepan dengan masalah kekurangan bekalan perubatan kritikal serta penggunaan elektrik terhad.

Dalam pada itu, sekitar 1.9 juta penduduk kini menjadi pelarian di tanah air sendiri apabila mereka terpaksa tidur di khemah sementara dan tinggal dalam kawasan dilabel sebagai tidak lagi selamat.

Hampir keseluruhan rakyat Gaza kehilangan rumah dan harta benda, menjadikan kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan antarabangsa.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan menganggarkan puluhan juta tan runtuhan menimbus kota yang suatu ketika dahulu penuh kehidupan dengan kos pembersihayan dan pembinaan semula infrastruktur asas dianggarkan mencecah berbilion dolar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI