fbpx
Lelaki maut selepas terlanggar seekor kerbau di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Klinik Kesihatan Karangan, Kulim tengah malam tadi.

Mekanik maut motosikal langgar kerbau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Seorang mekanik maut selepas motosikal yang dia tunggang terlanggar seekor kerbau dalam kejadian di Jalan Kulim–Mahang berhampiran Klinik Kesihatan Karangan, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, mangsa yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kulim.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 1 pagi yang memaklumkan tentang satu kemalangan melibatkan penunggang motosikal dengan seekor kerbau di kawasan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC SE seorang diri dari arah Mahang menuju ke Taman Tunku Putra,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ketika melalui jalan berselekoh, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar seekor kerbau yang berada di kawasan kejadian dan terbabas ke bahu jalan.

“Impak perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelasnya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI