KOTA BHARU – Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) gagal meraih kemenangan sulung di gelanggang sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
KRW FC melepaskan dua peluang untuk mencipta gol pada minit-minit awal perlawanan apabila percubaan Muhammad Rizuan Muda dan Ahmad Azraf Ahmad Azam masing-masing tersasar.
Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim sekali lagi mencipta peluang apabila larian Muhammad Rizuan gagal disekat pertahanan JDT II, namun lorongan menariknya pada minit ke-27 gagal disempurnakan oleh Emmanuel Mbarga.
Pemain-pemain KRW FC terus mengasak kubu pelawat dan menghasilkan deretan peluang, namun tidak membuahkan hasil akibat ketumpulan penyudah.
Pasukan tuan rumah terus mempamerkan dominasi sehingga ke penghujung separuh masa pertama namun tetap gagal mencetak jaringan, menyaksikan kedudukan kekal terikat tanpa jaringan.
Bermula babak kedua, KRW FC mendapat peluang untuk mengubah situasi apabila diberikan sepakan percuma di luar kotak penalti, tetapi sepakan diambil Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada minit ke-81 tepat ke dakapan Zulhilmi Sharani.
Selang empat minit kemudian, JDT II terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila G. Pavithran diperintah keluar padang selepas menerima layangan kad kuning kedua pada minit ke-85 setelah melakukan terjahan keras ke atas Ahmad Azraf.
Perlawanan berkesudahan tanpa jaringan dan keputusan itu menyaksikan KRW FC berada di tangga ke-12 manakala JDT II pada kedudukan kelapan Liga A1 Semi-Pro. – KOSMO! ONLINE