KLANG – Kegiatan sindiket menjadikan kawasan parkir sunyi dan gelap di sekitar Pulau Indah di sini, untuk menyeludup rokok tidak bercukai tumpas selepas digempur pihak berkuasa hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 4 pagi dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang itu membawa kepada penahanan tiga individu berusia 19 hingga 37 tahun.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, perkara itu dikesan pihaknya yang melakukan rondaan menerusi rondaan Ops Taring Landai dengan mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir berkenaan.
“Pemerhatian mendapati dua MPV lain jenis Perodua Alza turut berada di situ dengan beberapa individu sedang memunggah kotak ke dalam kenderaan lain.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan kotak-kira yang berisi rokok tidak bercukai,” katanya petang ini.
Tambah beliau, pihaknya menahan tiga lelaki bersama rampasan tiga kenderaan dan pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM260,000.
“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke PPM Pelabuhan Klang bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE