fbpx
Sebuah rumah di Jalan Makam Diraja Langgar, Alor Setar yang masih digenangi air. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

‘Tengok CCTV air sudah penuh, banjir kali ini agak teruk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Saya hanya tahu rumah pusaka ini dilanda banjir selepas dimaklumkan jiran. Bila tengok CCTV (televisyen litar tertutup), saya dapat mengagak air sudah masuk ke dalam rumah.”

Demikian kata pesara Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Zubir Mat Jafri ketika ditemui di rumah tersebut di Jalan Makam Diraja Langgar, di sini hari ini.

Katanya, kawasan rumah pusaka peninggalan arwah bapa mentuanya itu sering dinaiki air kerana kedudukannya rendah dan terletak berhampiran sungai.

“Banjir dua kali setahun itu perkara biasa kerana rumah ini terletak berhampiran sungai. Namun, kali ini agak teruk kerana air masuk ke dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian pada Jumaat lalu, rumah pusaka tersebut tidak berpenghuni kerana dia sekeluarga tidak menetap di situ.

“Saya sekeluarga tinggal di Pulau Pinang dan semasa kejadian, saya berada di Bangi, Selangor. Saya, isteri dan seorang anak lelaki terus datang ke sini dan buat masa ini air masih bergenang.

“Hanya bahagian tengah rumah yang sudah kering dan saya berharap air cepat surut supaya kami boleh bersihkan rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, paras banjir didapati semakin menurun berikutan keadaan cuaca yang baik.

“Kita berharap keadaan cuaca kekal baik, namun sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku lagi hujan lebat berpanjangan serta ramalan fenomena air pasang besar selama empat hari bermula tengah malam ini,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai terutama yang tinggal di lokasi berisiko agar sentiasa memantau keadaan cuaca dan bersedia sekiranya hujan lebat berterusan.

“Pastikan keselamatan terjaga, terutama anak-anak kecil dan simpan dokumen penting di tempat selamat. Berhati-hati juga dengan elektrik serta ancaman haiwan berbisa ketika banjir,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI