SELEPAS digugurkan daripada membintangi filem sekuel Kalki 2898, pelakon terkenal Bollywood, Deepika Padukone dikhabarkan akan kembali membintangi sebuah lagi filem Hollywood.
Menurut desas-desus yang sedang bertiup kencang, pelakon filem Om Shanti Om itu bakal kembali bergandingan dengan Vin Diesel untuk sekuel filem XXX. Perkhabaran tersebut hangat diperkatakan selepas Vin dilihat berkongsi foto ‘throwback’ mereka bersama dalam Instagram.
“Terlalu banyak cerita untuk dikongsikan. Antaranya Xander akan meneruskan pengembaraan di Mumbai,” dedah Vin dalam hantarannya.
Deepika dan Vin pernah bergandingan dalam filem XXX: Return Of The Xander Cage pada 2017. Filem tersebut menjadi debut Deepika di Hollywood.
Vin nampaknya masih belum puas bergandingan dengan Deepika. Terlebih dahulu dia pernah melamar Deepika bagi membintangi filem Fast Furious 7, namun tawaran tersebut terpaksa ditolak aktres itu memandangkan sedang sibuk menjalani penggambaran filem bertajuk Bajirao Mastani.