fbpx
MARQUEZ menganggap musimnya masih belum tamat meskipun sudah mengesahkan gelaran dunia musim ini. - DUCATI CORSE

Juara dunia mahu tawan GP Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LOMBOK – Juara dunia MotoGP 2025, Marc Marquez menganggap kejayaan menjuarai musim ini di Jepun hujung minggu lalu menyuntik semangat tambahan untuk memburu kemenangan sulungnya pada Grand Prix (GP) Indonesia pada Ahad ini.

Pelumba Ducati itu mengesahkan gelaran dunia di Motegi sekali gus menyamai rekod legenda MotoGP, Valentino Rossi dengan muncul juara dunia sebanyak tujuh kali dalam kelas perdana.

Secara keseluruhan, Marquez, 32, kini mengumpul sembilan kejuaraan dunia dalam kariernya.

Bagaimanapun, Marquez menegaskan fokusnya masih belum berakhir meskipun berbaki lima pusingan musim ini.

Bintang Sepanyol itu mahu terus menambah koleksi 11 kemenangan yang sudah dimiliki, selain membantu Ducati menutup musim dengan gelaran pasukan dan ‘triple crown’.

“72 jam lalu cukup luar biasa. Ahad lalu adalah hari yang penuh emosi, kegembiraan dan ketenangan. Semua itu memberi saya tenaga tambahan untuk kekal fokus dan memberikan yang terbaik buat pasukan,” katanya.

GP Indonesia menjadi antara dua perlumbaan dalam kalendar selain GP Portugal masih gagal dimenangi oleh Marquez.

Rekodnya di Litar Antarabangsa Mandalika tidak begitu baik apabila terpaksa menarik diri pada 2022 kerana kecederaan, gagal menamatkan perlumbaan 2023 dan berdepan masalah jentera tahun lalu.

Jika menang, Marquez akan menyamai 12 kemenangan yang pernah diraihnya pada 2019 dan hanya satu lagi untuk mengatasi rekod peribadi 13 podium pertama musim 2014. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI