KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim menyifatkan kesilapan mudah dilakukan rakan sepasukan menjadi punca kekalahan 2-4 kepada Lion City Sailors dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) kelmarin.
Pada aksi di Stadium Bishan, Singapura, misi Gergasi Merah untuk meraih tiga mata penuh tidak kesampaian selepas penyerang tuan rumah, Anderson Lopes berada dalam kelas tersendiri dengan meledak empat gol.
Faisal yang meledak satu gol buat Selangor berharap semua pemain dapat menggandakan usaha untuk tampil lebih cemerlang pada aksi akan datang.
“Kami tidak bermain dengan baik kali ini dan tidak mendengar arahan yang ditetapkan oleh jurulatih (Christophe Gamel). Ini bukanlah keputusan yang kami mahukan.
“Secara peribadi, saya anggap kami tewas dengan gol-gol mudah dan saya harap pasukan dapat pikul tanggungjawab kerana masih ada masa untuk perbaiki kelemahan ini.
“Di peringkat tertinggi, kami tidak boleh ulangi kesilapan sama dan harap dapat lupakan kekalahan sekali gus meraih keputusan positif pada aksi akan datang,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.
Pengendali Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic tidak menjangka Lopes mampu meledak empat gol ke atas Gergasi Merah untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukan.
“Lopes salah seorang pemain import terbaik ketika ini. Malah, dia dilihat cukup mudah untuk sesuaikan diri dengan memanfaatkan setiap peluang terhidang,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan Selangor kekal di tangga tercorot Kumpulan G selepas tewas dua perlawanan berturut-turut termasuk dikalahkan kelab Thailand, Bangkok United bulan lalu. – KOSMO! ONLINE