fbpx
SATU demonstrasi telah diadakan bagi menunjukkan ketepatan sistem robotik Hinotori dalam pembedahan.

Robot tingkat ketepatan pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, sistem pembedahan dengan bantuan robotik atau pembedahan robotik digunakan secara meluas dalam sektor kesihatan.

Malah, pembedahan robotik telah merevolusikan dunia perubatan dengan menawarkan kaedah rawatan lebih tepat, selamat dan proses pemulihan pantas.

Kini, banyak hospital menggunakan sistem robotik untuk melaksanakan sesuatu pembedahan kepada pesakit.

Kumpulan penjagaan kesihatan serantau, HMI Medical juga telah mengambil langkah berani bagi mentransformasi penjagaan kesihatan di Malaysia.

HMI Medical telah memperkenalkan prosedur pembedahan robotik dengan menggunakan sistem robotik bantuan pembedahan terkini dari Jepun iaitu Hinotori.

Prosedur pembedahan sistem robotik itu dilaksanakan di dua hospital utamanya iaitu Mahkota Medical Centre (MMC) di Melaka dan Regency Specialist Hospital (RSH), Johor.

Dibina daripada teknologi robotik oleh Kawasaki Heavy Industry yang dibangunkan lebih 50 tahun serta jaringan dan kepakaran Sysmex Corporation dalam bidang penjagaan kesihatan, Hinotori direka bentuk sebagai sistem pembedahan bantuan robotik yang mampu meniru pergerakan halus pakar bedah.

Sistem pembedahan bantuan robotik Hinotori akan meningkatkan ketepatan pembedahan, memperbaiki hasil pemulihan dan memperluaskan akses kepada penjagaan bertaraf dunia untuk pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HMI Medical, Chin Wei Jia berkata, pelancaran robotik bantuan pembedahan itu menandakan bermulanya era baharu dalam pembedahan berketepatan tinggi, sekali gus meningkatkan hasil rawatan pesakit.

Menurutnya, pembedahan robotik itu juga memendekkan tempoh pemulihan serta memperluaskan akses teknologi canggih kepada lebih ramai pesakit di Malaysia dan rantau ini.

“Antara ciri utama sistem robotik pembedahan Hinotori ini, ia mempunyai lengan robotik lapan paksi yang menawarkan lonjakan ketepatan pembedahan.

“Ini membolehkan pakar bedah kami menavigasi anatomi kompleks serta melakukan jahitan halus, walaupun di ruang sempit. Selain itu, ciri lain adalah penglihatan dipertingkatkan melalui sistem imej tiga dimensi (3D) definisi tinggi penuh.

AB. RAUF (tiga dari kanan) mendengar taklimat ringkas mengenai sistem robotik Hinotori daripada pakar bedah.

“Ini memberikan pakar bedah kami visualisasi tisu yang sangat terperinci dengan persepsi kedalaman luar biasa, sekali gus meningkatkan keselamatan dan prestasi semasa pembedahan panjang serta kompleks.

“Ia juga dilengkapi dengan ciri kawalan inovatif yang membolehkan pergerakan instrumen lebih lancar tanpa gangguan sambil meniru pergerakan tangan pakar bedah,” katanya ketika majlis pelancaran sistem robotik Hinotori di MMC baru-baru ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut hadir merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Pada majlis tersebut, satu demonstrasi telah diadakan bagi menunjukkan beberapa ciri utama sistem robotik bantuan pembedahan Hinotori yang dikendalikan oleh pakar bedah.

Menariknya, pakar bedah telah menjalani pemerhatian kes di beberapa hospital universiti di Jepun, latihan intensif pembedahan robotik dan pensijilan di Singapore General Hospital Academia di Singapura.

Sistem robotik Hinotori merupakan salah satu kemajuan besar dalam teknologi perubatan, dan telah mengubah landskap prosedur pembedahan.

Dengan ketersediaan inovasi teknologi perubatan yang terkini, pakar bedah di MMC dan RSH berupaya melaksanakan prosedur kompleks dengan ketepatan lebih tinggi, risiko berkurangan dan tempoh pemulihan singkat.

Menggunakan lengan robotik dan kamera 3D berdefinisi tinggi yang dikawal dari konsol, pendekatan invasif minimum itu menawarkan kecekapan lebih tinggi serta lebih mesra pesakit bagi rawatan berkaitan urologi, ginekologi, kolorektal dan pembedahan am.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HMI Malaysia, Stanley Lam berkata, seiring dengan keperluan pesakit yang terus berubah, pihaknya kekal komited untuk memajukan penjagaan melalui penerapan teknologi terkini.

“Pencapaian ini selaras dengan visi strategik kami untuk menjadi hospital pintar terkemuka. Ini mencerminkan dedikasi berterusan kami terhadap penjagaan berpusatkan pesakit serta berasaskan nilai.

“Dengan pengenalan Hinotori, kami berbangga membawa teknologi pembedahan robotik terbaik dari Jepun ke Malaysia. Ini dapat memastikan pesakit mempunyai akses kepada inovasi terkini di kedua-dua hospital kami,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN