RAUB – Pelumba pasukan Uno-X Mobility, Alexander Kristoff tidak kisah sekiranya kempunan untuk mencapai kemenangan ke-100 dalam karier profesional pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Dia yang memiliki 98 kemenangan setakat ini masih kempunan untuk mencatat kemenangan pada kempen LTdL kali ini dengan peluang terbaiknya adalah ketika peringkat ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh.
Kristoff berkata, dia realistik dengan peluang untuk mencatat kemenangan ke-100 memandangkan perlu berdepan saingan daripada pelumba-pelumba lain termasuk Matteo Malucelli dari pasukan XDS Astana.
“Saya tidak begitu optimis dengan peluang mencatat kemenangan ke-100 di LTdL kerana Malucelli sangat kuat pada edisi kali ini. Bagi saya, ia bukan satu perkara mudah dan sangat mencabar.
“Bagaimanapun, kami tidak akan mengaku kalah tetapi jika saya gagal mendapatkan kemenangan ke-100, saya tidak kisah. Memandangkan saya ada lebih 100 kemenangan UCI, ia bukan satu masalah besar,” katanya.
Jaguh Tour de France itu menganggap Malucelli merupakan pelumba yang harus diatasi pada LTdL kali ini, terutamanya dia adalah pilihan utama untuk memenangi jersi hijau selaku juara keseluruhan.
“Malucelli merupakan pelumba yang harus dikalahkan kerana dia terlalu laju. Saya kecewa kerana masih belum dapat catat kemenangan tetapi saya akan terus bekerja keras,” ujarnya.
Esok, saingan LTdL diteruskan untuk peringkat keenam dari Shah Alam ke Port Dickson dengan jarak 123.5 kilometer (km) meliputi tiga zon pecutan di Jenjarom, Banting dan Sungai Pelek.