JEMPOL – Seorang lelaki maut selepas terbabit nahas tiga buah motosikal di kilometer 0.5, Jalan Bahau-Rompin, berhampiran persimpangan jalan, Kampung Bakar Batu, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu melibatkan dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 22 tahun bersama pembonceng juga seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Rompin hendak ke Bahau.
“Setiba di lokasi kejadian, semasa penunggang motosikal itu bergerak terus tiba-tiba sebuah motosikal jenis yang sama ditunggang seorang lelaki berusia 51 tahun telah keluar dari simpang dan berlaku perlanggaran.
“Dalam masa yang sama, datang sebuah lagi penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Rompin yang ditunggang seorang lelaki berusia 18 tahun yang merupakan pelajar Giat Mara Bandar Seri Jempol tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal dinaiki dua individu itu,” katanya.
Ujar Norhisham lagi, ekoran itu penunggang motosikal berusia 51 tahun telah mengalami kecederaan parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, mangsa yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Jempol. – KOSMO! ONLINE