PETALING JAYA – Sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla menerima amaran kecemasan susulan sebuah kapal tentera laut Zionis Israel dikesan berhampiran flotila mereka.
Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang peserta misi rakyat Turkiye, Muhammet Salih yang menaiki kapal Adagio serta memuat naik video pada Instagram hari ini.
“Kami baru sahaja menerima amaran kecemasan, kapal laut Israel dikesan 50 batu dari flotila kami.
“Kami bersedia dengan jangkaan pintasan oleh Israel atau serangan pada malam ini atau malam esok. Kebarangkalian ia akan berlaku malam ini,” katanya pada video tersebut.
Dia memaklumkan, kesemua sukarelawan dalam misi itu juga dalam keadaan sangat berwaspada ketika ini.
“Kami dalam keadaan sangat berwaspada dan semua orang telah memakai jaket keselamatan dan sedia menunggu di dek,” katanya. – KOSMO! ONLINE