PERSATUAN Pandu Puteri Malaysia (PPPM) berjaya menganjurkan JADE Camp 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini dengan penyertaan seramai 1,000 Pandu Puteri Remaja dan pemimpin daripada 18 cawangan seluruh negara.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, selaku Yang Dipertua PPPM, merasmikan majlis tersebut sambil diiringi Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng.
Dr. Wan Azizah menzahirkan penghargaan kepada semua pemimpin PPPM serta mengiktiraf pengorbanan ibu bapa yang menjadi tunggak kejayaan penganjuran tersebut.
Beliau turut menegaskan dasar PPPM yang tidak bertoleransi terhadap ketidakadilan serta menekankan komitmen membuka peluang yang adil dan inklusif kepada semua, termasuk penyertaan dari Sabah, Sarawak dan Labuan.
Katanya, JADE Camp 2025 juga diselaraskan dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pada kem ini, anda semua berkumpul dari pelbagai latar belakang untuk melalui aktiviti bersama-sama dan bekerja sebagai satu pasukan. Hal ini menunjukkan bahawa kita mampu hidup dalam harmoni.
“Jangan sesekali merasa tidak layak atau rendah diri. Dalam pergerakan Pandu Puteri, tiada diskriminasi sama ada daripada golongan B40 atau sebaliknya.
“Kita semua adalah ciptaan terbaik Tuhan, khalifah di muka bumi yang dipilih untuk mengimarahkan dunia ini,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan pengibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia disertai nyanyian lagu tema Malaysia Madani dan pemotongan kek meraikan ulang tahun ke-109 PPPM.

Turut hadir ialah Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, YAS Datuk (PA) Aminurrahim Mohamed;
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abd Halim Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali; Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat, Noor Aeiza Hassan; Ketua Pegawai Operasi Yayasan Food Bank, Puteri Fazlieznoor, wakil Kementerian Pendidikan serta penaja daripada JL99 Group, Spritzer Berhad, Nestlé (Malaysia) Berhad dan Golden Donuts Sdn. Bhd.
Sebagai perkhemahan berskala besar, JADE Camp direka untuk membentuk kepimpinan, semangat kesukarelawanan dan keterampilan diri remaja sekolah menengah rendah.
Aktiviti kem meliputi enam bidang SDG iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (SDG 3), Pendidikan Bermutu (SDG 4), Kesaksamaan Jantina (SDG 5), Mengurangkan
Ketidaksamaan (SDG 10), Keamanan dan Keadilan (SDG 16) serta Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17).
Peserta dibahagikan kepada kumpulan dengan bertemakan Pusat Dunia Pandu Puteri iaitu Cabana, Kusafiri, Chalet Pax Lodgedan Sangam. Setiap kumpulan perlu menyelesaikan tujuh cabaran untuk melayakkan diri meraih Anugerah Jed.
Aktiviti turut merangkumi lencana kecekapan wajib dan dua lencana tambahan di samping memberi penekanan kepada aspek disiplin, kreativiti, semangat juang, patriotisme dan kepelbagaian bakat.
JADE Camp 2025 juga menjadi bukti komitmen PPPM dalam memperkasakan remaja dari pelbagai latar, termasuk pelajar Orang Asli di Pahang serta peserta luar bandar dari Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Penyertaan inklusif ini mencerminkan usaha persatuan memastikan peluang pembangunan diri dapat dinikmati tanpa mengira geografi mahupun latar belakang.
Sebagai sebuah pertubuhan wanita dan beliawanis yang telah bertapak lebih seabad, PPPM terus relevan sebagai wadah pemerkasaan remaja wanita untuk melahirkan generasi muda berdaya tahan, berakhlak mulia, berdisiplin serta bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya PPPM, Soo Keng menegaskan bahawa JADE Camp hanyalah titik permulaan pemerkasaan wanita muda.
“Platform ini perlu mencipta peluang sama rata, khususnya kepada anak-anak B40. Inilah erti sebenar pemerkasaan iaitu kesaksamaan, kepemimpinan dan keberanian.
“Peluang ini juga membuka pendedahan antarabangsa hingga ke Pusat Dunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) di India serta menjadi langkah pertama ke arah Anugerah Pandu Puteri Raja dan peluang biasiswa berprestij,” katanya.














