ISU mentaliti masyarakat kembali menjadi perbahasan apabila sebahagian besar masih berdepan dengan sikap sambil lewa termasuk dalam culas membayar yuran penyelenggaraan kediaman strata.
Lebih membimbangkan, sikap ‘tunggu orang lain bayar dulu’ semakin menular sehingga dana penyelenggaraan menjadi tenat.
Akhirnya, pihak pengurusan sering dipersalahkan kononnya gagal mentadbir, walhal punca sebenar berpunca daripada sikap penghuni sendiri.
Situasi ini nyata berlaku di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru seperti dilaporkan Kosmo! apabila kira-kira 90 peratus penduduk flat kos rendah di kawasan itu berdepan tindakan kerana gagal melunaskan yuran penyelenggaraan.
Rekod menunjukkan hanya sekitar 10 peratus daripada 4,800 unit membuat bayaran, sedangkan kadar yuran bulanan hanya antara RM30 hingga RM50.
Lebih mengejutkan, ada penghuni yang tidak membayar sejak 10 tahun lalu.
Permasalahan sama turut berlaku di banyak kediaman strata lain, termasuk kondominium. Sekali gus membuktikan bahawa isu ini bukan semata-mata soal kemampuan, sebaliknya mentaliti culas dan sikap mementingkan diri.
Hakikatnya, setiap kali berlaku kerosakan, jari mudah dituding kepada pengurusan, kerajaan atau kontraktor, sedangkan tanggungjawab bersama diabaikan.
Akhirnya, bukan sahaja pemilik culas yang rugi, malah seluruh komuniti turut terkesan.
Peguam hartanah, Nurul Izzati Ahmad Nasiruddin menerusi perkongsian di TikTok menjelaskan, di bawah Seksyen 78, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) berhak mengeluarkan notis menuntut bayaran.
Jika tuntutan itu tidak diendahkan katanya, pemilik boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, selain unit kediaman turut berisiko disita
.
“Ini bukan main-main. Yuran itu penting untuk penyelenggaraan lif dan kemudahan yang digunakan bersama setiap hari,” tegasnya.
Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini mendedahkan pihaknya sedang mengkaji model baharu pembayaran berdasarkan penggunaan sebenar kemudahan bersama.
“Inisiatif ini sebahagian daripada usaha meningkatkan industri hartanah dan menggalakkan akses perumahan lebih saksama kepada rakyat,” katanya.
Justeru, amat jelas kesedaran kolektif amat diperlukan. Masalahnya bukan wang tetapi sikap. Sekiranya berlarutan akan melambatkan proses pembangunan sosial kita.
Jadi, perlu ada sikap kematangan masyarakat dalam menguruskan aset secara bersama.
JMB pula perlu menyeimbangkan imej mesra dengan tindakan tegas.
Kompromi hanya wajar diberi hanya seandainya penghuni benar-benar menunjukkan kesungguhan membayar termasuk menerusi pelan ansuran.














