fbpx
Keli Afrika seberat 10.620kg yang berjaya ditangkap pada Cabaran Joran Selangor 2025.

Tuah sentapan keli Afrika 10.620kg bawa pulang RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang peserta tidak menyangka sentapan seekor keli Afrika seberat 10.620 kilogram (kg) pada mata kailnya membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 pada Cabaran Joran Selangor 2025 di Tasik Bandaraya Kelana Jaya semalam.

Pemancing dari Kajang, Selangor, Badrul Hisham Mustafa, 53, berjaya menaikkan ikan spesies tersebut pada pukul jam 11.13 pagi dan menjadi satu-satunya peserta dengan tangkapan melebihi 10 kilogram.

Naib juara disandang oleh Azhari Azizol Omar, 28, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur yang menaikkan spesies kap rumput seberat 5.865 kg., sekali gus meraih hadiah wang tunai RM3,000.

Tempat ketiga pula milik Ahmad Khairol Nizam Mohamad, 48, dari Lembah Subang, Petaling Jaya dengan tangkapan kap rumput seberat 5.725 kg. pada pukul 9.52 pagi dan membawa pulang RM1,000.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan.

Sepanjang pertandingan, spesies kap rumput mendominasi kedudukan 10 teratas.

Namun, beberapa spesies lain turut berjaya dinaikkan seperti haruan, baung, lampam, tilapia, ‘peacock bass’ dan keli Afrika.

Lebih 600 kaki pancing dari seluruh negara berhimpun di Tasik Bandaraya Kelana Jaya bagi menyertai pertandingan memancing tersebut.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Kembara Media Events dengan sokongan Tourism Malaysia itu menerima penyertaan daripada pemancing dari Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.

Aznan berkata, MBPJ berhasrat memperkasakan tasik-tasik di Petaling Jaya dengan konsep aktiviti air, riadah keluarga serta memberi penekanan kepada aspek kebersihan dan kelestarian.

Katanya, usaha ini bertujuan menjadikan tasik bukan sahaja lokasi memancing, malah destinasi rekreasi keluarga yang bersih, indah dan mesra alam.

“Cabaran ini bukan sekadar pertandingan memancing, tetapi usaha bersama mengurangkan spesies ikan larangan di tasik awam serta mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem,” katanya.

Rata-rata peserta menzahirkan kepuasan hati dengan penganjuran kali ini dan berharap ia diteruskan sebagai acara tahunan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN