TERPILIH untuk mewakili negara dalam sukan boling padang merupakan sesuatu yang berharga buat Ain Nurnajwa Sam @ Norhisham
Pada mulanya, gadis yang berusia 23 tahun itu bagaikan tidak percaya bahawa dirinya akan terpilih menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan untuk sukan tersebut.
“Sebenarnya saya sudah lama memendam hasrat untuk mewakili negara
“Alhamdulillah, kerja keras saya selama ini akhirnya terbalas apabila Allah kabulkan hasrat saya ini,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ain Nurnajwa terpilih mewakili negara pada tahun lalu untuk pertandingan Lion City Cup 2024 yang berlangsung di Singapura.Di pertandingan tersebut, dia telah menyumbang satu pingat emas dan satu pingat perak untuk negara bagi acara berpasangan.
Pada tahun ini juga dia telah mewakili negara untuk Kejohanan Asia di Filipina dan Ain Nurnajwa telah berjaya meraih pingat emas untuk acara individu.
“Saya merasa bangga dan terharu kerana dapat menyumbang pingat untuk negara.
“Kejayaan ini juga adalah hasil daripada sokongan jurulatih, keluarga dan rakan-rakan.
“Saya juga menjadikan pingat ini sebagai motivasi untuk melangkah dengan lebih jauh dalam sukan ini,” katanya yang berasal dari Kangar, Perlis.
Menceritakan tentang bagaimana boleh terlibat dengan sukan boling padang, Ain Nurnajwa berkata, ibunya yang memperkenalkan sukan itu kepadanya.
Ketika berusia 11 tahun, dia mengikuti ibunya ke sesi latihan boling padang.
Sekadar ingin mencuba dia kemudian ‘jatuh cinta’ dengan sukan itu dan serius sehingga sekarang.
Sejak itu, Ain Nurnajwa juga tidak menoleh ke belakang dan pernah mewakili Perlis untuk beberapa edisi Sukan Malaysia dan turut menyumbang pingat untuk negeri kelahirannya itu.Dia juga mewakili UPM untuk sukan boling padang bagi beberapa kejohanan sukan.
Kini, namanya sudah berada dalam senarai pemain boling padang untuk ASEAN University Games (AUG) 2026 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur.
Bagi Ain Nurnajwa boling padang bukan sekadar sukan.Ia sebuah dunia yang membentuk disiplin, strategi dan ketahanan mental baginya. Namun, di sebalik semua itu, dia menyimpan impian yang lebih besar iaitu untuk menjadi juara dunia.
“Saya juga menyimpan hasrat untuk mewakili negara bagi kejohanan sukan yang lebih besar seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel dan kejohanan dunia yang lain.
“Impian paling besar yang saya tanam dalam diri sudah semestinya ingin menjadi juara dunia pada masa hadapan,” ujarnya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
Selain aktif dengan sukan boling padang, Ain Nurnajwa juga amat mementingkan pelajaran.
Bagi melengkapkan dirinya dengan ilmu dia memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pembangunan sumber manusia di UPM.
Selain itu, dia juga mempunyai Diploma Pengurusan Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Saya mahu cabar diri dengan sesuatu yang baharu dan oleh sebab itu saya memilih bidang yang berlainan apabila berpeluang melanjutkan pengajian.
“Impian saya setelah tamat belajar kelak saya ingin bekerja di dalam bidang sumber manusia di syarikat besar seperti Petronas ataupun di syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Walaupun sibuk dengan latihan dan kejohanan untuk sukan boling padang, Ain Nurnajwa masih mampu untuk mengekalkan kecemerlangan akademik.
Malah, impiannya adalah menamatkan pengajian dengan kelas pertama dan ia sesuatu yang boleh direalisasikan kerana setiap semester dia mencatatkan keputusan yang baik.














